
DPMM FC terus menampilkan permainan cemerlang apabila berjaya menewaskan Panchor Murai FC pada Liga Super Brunei (BSL) 2024, yang berkesudahan 8-0.
Perlawanan berkenaan berlangsung malam tadi di Jerudong Park Mini Stadium, di sini.
Berangkat menyaksikan perlawanan berkenaan, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman.
Berangkat sama ialah anakanda-anakanda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Muhammad Aiman; dan Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Faathimah Az-Zahraa' Raihaanul Bolkiah.
Turut menyertai DPMM FC ialah anakanda Duli Yang Teramat Mulia, iaitu Yang Teramat Mulia Pengiran Muda 'Abdul Muntaqim selaku Ketua Pasukan.
Babak pertama perlawanan menyaksikan gol pertama DPMM FC terhasil pada minit ke-5 yang dijaringkan oleh Luis Matias. Dengan jaringan berkenaan memberi semangat kepada kesemua pemain DPMM FC untuk terus membuat serangan demi serangan sekali gus mendominasi perlawanan.
Pada minit ke-22, Kenshin Uneo berjaya menjaringkan gol bagi DPMM FC, diikuti oleh Sergio Mendiguchia pada minit ke-34.
Bersambung pada babak kedua pula menyaksikan DPMM FC terus mendominasi perlawanan apabila Sergio Mendiguchia bermain dengan selesa pada minit ke-52 dengan gol keduanya diikuti dengan Mercelo Junior yang turut menyumbangkan jaringan gol pada minit ke-57.
Walaupun Panchor Murai FC cuba beberapa kali untuk menjaringkan gol namun nasib tidak menyebelahi pasukan berkenaan. Kedua-dua pasukan silih berganti mengatur serangan untuk menjaringkan gol, akan tetapi DPMM FC masih lagi terus menguasai permainan perlawanan dengan berjaya membuat beberapa serangan untuk menghasilkan gol.
DPMM FC tidak memberi peluang langsung kepada Panchor Murai FC apabila Sergio Mendiguchia sekali lagi berjaya menggegarkan gawang pihak lawan pada minit ke-65 dan ke-73, menjadikan kedudukan 7-0.
DPMM FC terus menjaringkan gol pada minit ke-88 hasil daripada Md. Aqram Waqeel sekali gus membawa kemenangan kepada DPMM FC.
Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto