
Pasukan Brunei DPMM FC gagal memanfaatkan perlawanan di tempat sendiri setelah dikecewakan oleh Lion City Sailors (LCS) dengan jaringan 2 - 4 dalam perlawanan Liga Perdana Singapura (SPL) Musim 2024 / 2025 yang berlangsung di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, malam tadi.
Berangkat menyaksikan perlawanan, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri.
Berangkat sama, paduka adinda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik.
Gol pembukaan oleh pemain jersi nombor 7 bagi kedua-dua pasukan Brunei DPMM FC dan LCS berjaya dihasilkan bagi pasukan masing-masing. Pasukan Brunei DPMM FC memulakan perlawanan dengan baik apabila menjaringkan gol pertama pada minit ke-4 melalui jaringan Ketua Pasukan, Muhammad Azwan Ali Rahman.
Namun, pada minit ke-17, LCS menyamakan kedudukan menerusi gol Shawal Anuar. Setelah beberapa kali pertahanan Brunei DPMM FC mulai digugat, akhirnya LCS membolos gol kedua menerusi Lennart Thy di minit ke-30.
Separuh masa kedua bermula terus menyaksikan anak didik Jamie Mcallister seakan mengatur strategi dan mendominasi permainan sehingga Miguel Oliveira menghadiahkan gol penyamaan bagi Brunei DPMM FC di minit ke-56.
Dalam kedua pasukan begitu gigih mengatur strategi masing-masing, Lennart Thy sekali lagi berjaya memboloskan gawang pasukan Brunei DPMM FC di minit ke-64. Selang empat minit kemudian, Shawal Anuar terus memanfaatkan peluang dari sepakan sudut dan seterusnya menjaringkan gol keempat bagi LCS di minit ke-68. Keputusan 4 - 2 berpihak kepada LCS dan kedudukan kekal sehingga wisel penamat dibunyikan.
Pasukan Brunei DPMM FC selanjutnya akan berentap menentang Pasukan Geylang International FC di Stadium Negara Hassanal Bolkiah pada 18 Januari 2025 nanti. Marilah kita datang beramai-ramai untuk memberikan sokongan padu buat Brunei DPMM FC untuk terus beraksi cemerlang mencapai kemenangan.
Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto