
Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Awang Mohamad menekankan bahawa Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (NBD Ke-41, bukan sekadar acara tahunan tetapi satu manifestasi perpaduan dan semangat patriotisme rakyat NBD.
Oleh itu, Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan menyatakan adalah penting bagi kita untuk memastikan sambutan kali ini mencerminkan aspirasi negara dan semangat cintakan tanah air yang kita kongsi bersama.
Yang Berhormat menyatakan perkara tersebut semasa berucap pada Mesyuarat Kedua Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan NBD Ke-41, Tahun 2025 berlangsung di Dewan Digadong, Bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, di sini.
Dalam ucapannya, Yang Berhormat juga menyatakan bahawa dengan bersandarkan penerapan Pendekatan Senegara (Whole of Nation Approach), semua jawatankuasa akan dapat memberikan kerjasama dan sama-sama berganding bahu dalam memastikan Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-41, Tahun 2025 berjalan dengan lancar, teratur, sempurna dan berhemah dari tahun sebelumnya.
“Satu lagi aspek yang peramba / kaola / saya harapkan dapat diberi perhatian ialah aspek penyertaan komuniti. Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan NBD Ke-41, Tahun 2025 tidak akan bermakna tanpa penglibatan aktif rakyat dan penduduk di negara ini khususnya generasi muda 'kitani'. Oleh itu, kita perlu merangka persembahan yang dapat menarik minat semua peringkat umur dan latar belakang untuk bersama-sama merayakan detik bersejarah ini," tambah Yang Berhormat.
Terdahulu, ujar Yang Berhormat, Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan NBD Ke-41, Tahun 2025 merupakan salah satu acara penting dalam kalendar negara dan ia menjadi platform untuk kita menyampaikan mesej kesatuan, kekuatan dan semangat kenegaraan kepada seluruh rakyat NBD.
Oleh itu, perancangan dan pelaksanaan sambutan ini memerlukan usaha dan perhatian yang teliti agar ia dapat meninggalkan impak positif kepada negara dan rakyat.
Mesyuarat kedua tersebut merupakan kesinambungan daripada mesyuarat pertama jawatankuasa tertinggi yang telah membincangkan mengenai persediaan Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan NBD Ke-41, Tahun 2025 antaranya ketetapan format Persembahan Padang, tempat, tetamu kehormat majlis bagi majlis-majlis, logo dan tema serta perbarisan dan ikrar termasuklah persediaan raptai-raptai yang akan dilaksanakan.
Mesyuarat dipengerusikan bersama oleh Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan; Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid dan Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh.
Hadir semasa mesyuarat tersebut, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof selaku Penasihat Bersama; Timbalan Menteri Hal Ehwal Agama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan; Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Awang Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan; Pesuruhjaya Polis, Pasukan Polis Diraja selaku Timbalan Pengerusi Bersama.
Juga hadir Yang Berhormat Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Setiausaha-setiausaha Tetap dan Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap serta Ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan NBD Ke-41, Tahun 2025.
Upacara Perhimpunan Agung Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan NBD Ke-41, Tahun 2025 akan diadakan pada hari Ahad, 23 Februari 2025.
Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto