
Upacara Sovereign's Parade hari ini menyaksikan seramai 52 Pegawai Kadet yang terdiri daripada 39 pegawai lelaki dan 13 pegawai wanita telah ditauliahkan pada majlis yang berlangsung di Padang Kawad Akademi Pertahanan, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Kampung Tanah Jambu, di sini.
Daripada jumlah berkenaan, 25 Pegawai Kadet ditauliahkan sebagai pegawai Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB), 17 Pegawai Kadet ditauliahkan sebagai pegawai Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB), sembilan Pegawai Kadet ditauliahkan sebagai pegawai Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB), dan seorang Pegawai Kadet Antarabangsa ditauliahkan sebagai pegawai Tentera Darat Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia.
Pentauliahan berkenaan disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi Pegawai-pegawai Kadet Pengambilan Ke-23, Sekolah Pegawai Kadet ABDB.
Mengiringi keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri.
Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia dijunjung oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof, dan Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan.
Sejurus keberangkatan tiba, Kebawah DYMM berkenan menerima Tabik Hormat Diraja dan seterusnya memeriksa Pasukan Perbarisan yang terdiri daripada Pegawai-pegawai Kadet Pengambilan Ke-23, Sekolah Pegawai Kadet, ABDB di bawah perintah Pegawai Perbarisan, 1201 Kapten Nursazwilla binti Rosdie.
Semasa upacara berkenaan, Kebawah DYMM berkenan mengurniakan titah dan kemudiannya diikuti dengan pengurniaan anugerah kepada Pegawai-pegawai Kadet Terbaik bagi pengambilan ke-23.
Pengurniaan anugerah-anugerah didahului dengan Anugerah Pedang Kehormatan (Sword of Honour) kepada Pegawai Kadet Nor Azwar Zuwairey bin Haji Norshamli. Anugerah berkenaan merupakan penghormatan tertinggi yang dianugerahkan kepada Pegawai Kadet, dan simbol kecemerlangan terbaik secara keseluruhan aspek latihan.
Baginda seterusnya mengurniakan Anugerah Terbaik Akademik kepada Pegawai Kadet Dayangku Nur Muta'wakillah binti Pengiran Haji Mohd. Ali berdasarkan kepada keputusan keseluruhan akademik yang cemerlang di sepanjang latihan.
Manakala, pengurniaan Anugerah Terbaik Kemahiran Tentera dianugerahkan kepada Pegawai Kadet Muhd. Nizam Saaduddin bin Mohd. Yusof, TLDB, berdasarkan kepada keputusan keseluruhan dalam mata pelajaran kemahiran tentera yang cemerlang, dan akhir sekali Anugerah Terbaik Ketahanan Jasmani kepada Pegawai Kadet (U) Muhd. Irfan Affendy bin Muhd. Eddy Rizwan Affendy bagi mengiktiraf pencapaian cemerlang beliau dalam latihan jasmani.
Sembah 'Daulat Kebawah Duli Tuan Patik' kemudiannya dilaungkan sebanyak tiga kali oleh Pasukan Perbarisan, diikuti dengan bacaan doa oleh Pemangku Pengarah Jabatanarah Agama ABDB, Leftenan Kolonel Abdul Mujib bin Japar.
Dari padang kawad, Kebawah DYMM dijunjung berangkat ke Dewan Istiadat Akademi Pertahanan ABDB dan seterusnya berkenan menerima pesambah yang dinamakan 'Al-Intisar Al-Basala' yang bermaksud 'Kejayaan dengan Keberanian'.
Buku Perjalanan yang mendokumentasikan latihan ketenteraan intensif selama 48 minggu yang telah dilalui oleh Pegawai-pegawai Kadet Pengambilan Ke-23 sejak 12 Februari 2024.
Kebawah DYMM kemudian berkenan menerima junjung ziarah daripada Pegawai-pegawai Kadet yang baharu ditauliahkan bersama dengan keluarga masing-masing.
Kebawah DYMM turut berkenan menandatangani Lembaran Kenangan Keberangkatan dan sesi bergambar ramai sebelum berangkat meninggalkan majlis.
Upacara Sovereign's Parade adalah kemuncak latihan ketenteraan intensif Sekolah Pegawai Kadet ABDB yang bertujuan bagi melengkapkan pegawai-pegawai yang baharu ditauliahkan dengan ilmu pengetahuan, disiplin, profesionalisme dan kemahiran kepimpinan.
Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto