
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan menerima mengadap Perutusan Khas Duli Yang Maha Mulia Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail yang diketuai oleh Yang Amat Mulia Dato' Seri Diraja Syed Badaruddin ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, Tengku Syarif Bendahara Perlis.
Semasa Majlis Mengadap tersebut, Yang Amat Mulia Tengku Syarif Bendahara Perlis telah menyembahkan satu Warkah Persilaan daripada DYMM Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk baginda berangkat menghadiri Sambutan Jubli Perak Pemerintahan DYMM Raja Perlis yang akan berlangsung pada 17 April 2025 di Negeri Perlis, Malaysia.
Menyertai bersama Yang Amat Mulia pada Majlis Mengadap itu ialah isteri Yang Amat Mulia Tengku Syarif Bendahara Perlis, Yang Mulia Datin Seri Diraja Sharifah Azura binti Said Hamoza, Tengku Puan Bendahara Perlis; Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Yang Berhormat Dato' Rahimi bin Ismail; Ahli Dewan Rakyat Parlimen Padang Besar, Perlis, Yang Berhormat Tuan Rushdan bin Rusmi; dan Kuasa Usaha Sementara, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Negara Brunei Darussalam, Puan Nur Ezira binti Mahadi.
Juga berangkat dan hadir di Majlis Mengadap yang berlangsung di Istana Nurul Iman itu ialah Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris bin Pengiran Maharaja Lela Pengiran Muda Abdul Kahar; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah; Timbalan Menteri di JPM, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos; dan Timbalan Setiausaha Tetap di JPM, Pengiran Haji Raffizanna bin Pengiran Haji Razali, selaku Pemangku Grand Chamberlain.
Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto