
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan memulakan Keberangkatan Negara ke Republik Rakyat China dengan menghadiri Majlis Perjumpaan bersama Chairman of the Standing Committee of the National People's Congress, Tuan Yang Terutama Zhao Leji yang berlangsung di Great Hall of the People, Beijing, hari ini.
Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah paduka anakanda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen.
Semasa mesyuarat ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah menekankan bahawa hubungan dua hala di antara Negara Brunei Darussalam (NBD) dan Republik Rakyat China kekal kukuh, yang digariskan oleh kerjasama mesra dan erat serta komitmen teguh NBD terhadap One China Policy.
Baginda menambah bahawa Strategic Cooperative Partnership yang ditubuhkan pada tahun 2018, merangkumi perdagangan dan pelaburan, pertanian, perikanan dan pertukaran antara rakyat, yang kesemuanya terus membuahkan manfaat yang ketara bagi rakyat kedua-dua buah negara.
Dedikasi bersama untuk meningkatkan kepentingan bersama telah mengukuhkan lagi kerjasama yang teguh dan oleh itu, baginda berharap untuk dapat meneruskan usaha dalam meningkatkan ikatan persahabatan dan persefahaman antara rakyat dan negara.
Mesyuarat berkenaan, antara lainnya, memfokuskan kepada hubungan dua hala, di mana baginda menzahirkan rasa puas hati bahawa NBD dan China terus mendukung kerjasama yang telah terjalin sekian lamanya sejak menjalinkan hubungan diplomatik pada tahun 1991.
Baginda juga menghargai sokongan padu China dalam usaha mempelbagaikan Brunei, yang telah menyumbang dengan ketara kepada pembinaan ekonomi yang teguh dan berdaya tahan.
Dalam menghadapi ketidaktentuan geopolitik global semasa, Kebawah Duli Yang Maha Mulia menyuarakan pandangan bahawa adalah penting untuk menjaga kepentingan bersama terutamanya dalam bidang-bidang seperti keselamatan makanan dan pembangunan ekonomi yang mampan. Oleh itu, NBD berhasrat untuk meningkatkan lagi hubungan ekonomi dengan China, khususnya dalam sektor pertanian makanan dan akuakultur.
Sementara itu, pertukaran antara rakyat bagi kedua-dua buah negara kekal kukuh dan berkekalan; orang ramai dan membolehkan mereka membina persahabatan yang berkekalan. Ke arah ini, baginda mengalu-alukan lebih ramai pelawat China ke Brunei melalui perjanjian pengecualian visa antara kedua-dua buah negara.
Di samping itu, dokumen yang ditandatangani semasa keberangkatan ini akan mengukuhkan dan mengembangkan lagi hubungan strategik antara NBD dan China pada masa hadapan.
Mengenai hal ehwal serantau, Kebawah DYMM menzahirkan penghargaan atas sokongan dan komitmen China yang tidak berbelah bahagi terhadap Hubungan Dialog ASEAN-China dalam semua aspek Tonggak Komuniti.
Tambahan lagi, penglibatan China dalam Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA) amatlah dihargai dan baginda seterusnya mengalu-alukan lebih banyak peluang untuk mengukuhkan lagi kerjasama perundangan.
Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto