Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
NBD hargai hubungan persahabatan bersama China
06/02/2025

hm_0602254.jpg

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, berkenan berangkat menghadiri Majlis Perjumpaan bersama Premier Republik Rakyat China, Tuan Yang Terutama Li Qiang sempena Keberangkatan Negara Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke Beijing, Republik Rakyat China.


Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah paduka anakanda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen.


Pada permulaan mesyuarat, Kebawah DYMM bertitah menzahirkan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga yang terjejas akibat gempa bumi di Xizang pada Januari 2025.


Mengenai hubungan Negara Brunei Darussalam (NBD) dan Republik Rakyat China, Kebawah DYMM seterusnya bertitah menyatakan bahawa NBD menghargai hubungan dengan Republik Rakyat China dan teguh mendukung One China Policy, dan seterusnya menekankan bahawa Republik Rakyat China kekal sebagai rakan kongsi utama dan NBD menghargai persahabatan teguh yang dibina selama ini.


Di samping itu titah baginda lagi, NBD telah mendapat manfaat daripada hubungan dan pertukaran antara rakyat, pertukaran amalan terbaik dalam pelbagai bidang koperasi.


Sehubungan itu, Kebawah DYMM bertitah menzahirkan rasa sukacita dengan keberangkatan ini, di mana kedua-dua belah pihak menegaskan komitmen mereka untuk mengukuhkan hubungan ekonomi dengan memeterai perjanjian yang akan meluaskan dan memperdalam kerjasama dua hala.


Sementara itu, mengenai isu-isu serantau, Kebawah DYMM bertitah menekankan bagi meningkatkan perkongsian serantau yang lebih kukuh bersama Republik Rakyat China, dan Hubungan Dialog ASEAN-China menjadi salah sebuah perkongsian yang paling komprehensif dalam kalangan ASEAN sejak bertahun-tahun lagi.


Ke arah ini, baginda bertitah menzahirkan penghargaan terhadap sokongan Republik Rakyat China yang tidak berbelah bahagi, terutama sekali di bawah Comprehensive Strategic Partnership yang ditubuhkan semasa NBD menjadi Pengerusi ASEAN pada 2021.


Dalam hal ini, Kebawah DYMM bertitah menyuarakan pandangan bahawa usaha-usaha Republik Rakyat China yang berterusan untuk mengukuhkan kerjasama termasuk di bawah ASEAN-China Year of People-to-People Exchanges, telah mengeratkan lagi hubungan antara rakyat dan rantau ini secara signifikan.


NBD juga titah baginda lagi, mengalu-alukan Sidang Kemuncak ASEAN-Gulf Cooperation Council (GCC)-China di Kuala Lumpur, yang bertujuan untuk memupuk pertumbuhan ekonomi yang mampan dan kemakmuran yang dapat dinikmati bersama di seluruh rantau ini.


Kebawah DYMM juga mengalu-alukan lebih banyak peluang untuk mengukuhkan muhibah dan persahabatan antara kedua-dua negara dan rakyat.


Mesyuarat tersebut antara lainnya menekankan perkembangan hubungan dua hala, dengan Kebawah DYMM bertitah turut mengongsikan bahawa sejak 2018, Strategic Cooperative Partnership di antara NBD dan Republik Rakyat China telah melakar perkembangan yang signifikan dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pertanian, perikanan, dan pertukaran antara rakyat.


Selain itu tambah titah baginda lagi, kedua-dua belah pihak telah memperdalamkan hubungan ekonomi melalui projek kerjasama petrokimia bersama Hengyi dan pembangunan Terminal Kontena Muara dengan kerjasama Beibu Gulf.


Mengenai kerjasama tenaga, Kebawah DYMM seterusnya bertitah mengongsikan bahawa Fasa 1 bagi projek Hengyi dapat diselesaikan dengan jayanya, sekali gus menjadi pencapaian penting bagi sektor hiliran minyak dan gas NBD.


Didorong oleh kejayaan ini titah baginda lagi, NBD berhasrat untuk melanjutkan Fasa 2, yang mempunyai sasaran untuk meningkatkan nilai ekspot petrokimia dengan dua kali lipat ganda di negara ini.


Kebawah DYMM seterusnya bertitah bahawa NBD yakin dengan perkembangan pelaburan asing dari Republik Rakyat China di NBD, dan menyambut baik pelaburan yang akan menyumbang kepada usaha mempelbagaikan ekonomi negara ini.


Dalam titah, baginda turut menyuarakan pandangan bahawa kerjasama di antara NBD dan Republik Rakyat China dalam pelbagai projek telah membuahkan manfaat ekonomi yang penting kepada kedua-dua buah negara.


Dalam perkara ini, Kebawah DYMM bertitah menyatakan ketersediaan untuk membangun kapasiti NBD dalam pertanian dan perikanan melalui program pembangunan kapasiti untuk meningkatkan eksport ke Republik Rakyat China.


Kepakaran Republik Rakyat China dalam pengeluaran padi hibrid, termasuk penubuhan Pusat Penyelidikan Padi Hibrid di NBD, yang penting kepada matlamat kebangsaan NBD untuk menjadi mampu diri, juga telah dihargai oleh Kebawah DYMM.


Oleh itu, baginda bertitah menekankan bahawa sokongan Republik Rakyat China yang berterusan terhadap Brunei-Guangxi Economic Corridor dan Terminal Kontena Muara akan dapat mentransformasikan NBD selaku hab serantau sebagai pintu masuk Republik Rakyat China kepada ASEAN, BIMP-EAGA dan selanjutnya.


Baginda turut menyuarakan pandangan bahawa perjanjian pengecualian visa di antara NBD dan Republik Rakyat China telah memudahkan perjalanan bagi rakyat daripada kedua-dua buah negara, ke arah meningkatkan lagi pelancongan dan mengeratkan hubungan antara rakyat kedua-dua buah negara.


Kedua-dua pihak juga telah sama-sama meraih banyak pencapaian, dan untuk itu, baginda yakin bahawa kerjasama di antara kedua-dua buah negara akan terus berkembang di bawah perjanjian-perjanjian yang dimeterai semasa keberangkatan tersebut.


Kepentingan platform serantau, khususnya Hubungan ASEAN-China dan Perkongsian Komprehensif Ekonomi Serantau, juga telah digariskan dalam titah Kebawah DYMM bagi menangani cabaran-cabaran landasan geopolitik dan geoekonomi yang kian berubah.


Ke arah ini, baginda bertitah menghargai komitmen teguh Republik Rakyat China dalam Hubungan Dialog ASEAN-China dan merakamkan penghargaan atas penglibatan Tuan Yang Terutama Li Qiang dalam mesyuarat-mesyuarat ASEAN.


Perkongsian Strategik Komprehensif titah baginda lagi, memperkukuh hubungan rapat serta komitmen bersama ASEAN dan Republik Rakyat China, yang membawa kerjasama serta prinsip saling percayai dan hormat-menghormati ke peringkat yang lebih tinggi.


Tambahan lagi titah Kebawah DYMM, NBD juga berhasrat untuk memperdalamkan penglibatan dalam perdagangan, tenaga dan digitalisasi, yang menjadi asas bagi memastikan kemampanan pada masa hadapan.


Kebawah DYMM bertitah mengalu-alukan sokongan Republik Rakyat China terhadap penubuhan Pusat Perubahan Iklim ASEAN di NBD, kerana inisiatif tersebut akan memperkukuh usaha-usaha kebangsaan dan serantau dalam menangani perubahan iklim dan meningkatkan lagi kepimpinan global bagi Republik Rakyat China.


Akhir sekali, Kebawah DYMM bertitah memuji Republik Rakyat China atas peranan dan usaha pengantaraan dalam bantuan kemanusiaan di Myanmar, terutama sekali dalam penghantaran barang-barang bantuan.


NBD titah baginda lagi, kekal komited terhadap mendukung usaha-usaha ASEAN untuk mencari jalan penyelesaian yang berpanjangan untuk Myanmar, yang diterajui dan dimiliki Myanmar melalui pelaksanaan Five-Point Consensus.


Kebawah DYMM juga menjemput Tuan Yang Terutama Li Qiang untuk mengadakan lawatan ke NBD.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto