
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, berangkat menghadiri Majlis Perjumpaan bersama Presiden Republik Kyrgyz, Tuan Yang Terutama Sadyr Zhaparov, yang berlangsung di Hotel JW Marriot, Harbin, Heilongjiang Province, China.
Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah paduka anakanda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen.
Semasa Mesyuarat tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan mengurniakan titah menyatakan bahawa Negara Brunei Darussalam (NBD) dan Republik Kyrgyzstan mempunyai hubungan dan persahabatan yang mesra sejak hubungan diplomatik dijalinkan pada tahun 1996.
Di samping itu, baginda menzahirkan rasa sukacita, di mana kedua-dua belah pihak juga bekerjasama rapat dalam forum antarabangsa termasuk Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Menyentuh mengenai hubungan dua hala, baginda melahirkan keyakinan bahawa dengan terdapatnya potensi untuk mengukuhkan hubungan kedua-dua buah negara.
Baginda menyambut baik kedua-dua belah pihak yang sedang bekerjasama dalam meneliti perjanjian pengecualian visa, yang mana akan menggalakkan lebih banyak lawatan di antara NBD dan Republik Kyrgyz.
Akhir sekali, baginda menyampaikan sokongan terhadap pencalonan Republik Kyrgyz di PBB termasuk Majlis Keselamatan PBB, serta menjemput Tuan Yang Terutama untuk mengadakan lawatan ke NBD.
Hubungan diplomatik di antara NBD dan Republik Kyrgyz mula terjalin pada 15 Mac 1996, di mana kedua-dua buah negara bekerjasama khususnya dalam bidang pertahanan, pendidikan, kesihatan dan kebudayaan.
Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto