Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
Berangkat merasmikan, menunaikan Solat Jumaat pertama di Masjid An-Na'im
28/02/2025

hm_280225.jpg

Masjid baharu yang terletak di kawasan Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Panchor Mengkubau di sini kini dikenali dengan Masjid An-Na'im, Kampung Panchor Mengkubau setelah dibuka rasmi pada hari yang penuh berkat hari ini.


Pembukaan rasmi masjid berkenaan disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sekali gus berkenan menunaikan Sembahyang Fardu Jumaat yang pertama di masjid berkenaan.


Berangkat sama ialah paduka - paduka anakanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik.


Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan paduka-paduka anakanda baginda dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman; dan Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.


Sejurus keberangkatan tiba, Kebawah Duli Yang Maha Mulia kemudiannya dijunjung  bagi menandatangani plak dan diiringi dengan laungan Takbir 'Allahu Akbar' sebanyak tiga kali yang dipimpin oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama sebagai petanda perasmian pembukaan masjid baharu berkenaan sebagai Masjid An-Na'im, Kampung Panchor Mengkubau.


Khutbah Jumaat bertajuk 'Meraih Kesempurnaan Ibadah Puasa' disampaikan oleh Penolong Pengarah Pusat Da'wah Islamiah (PDI), Awang Haji Ahmad Abdussalam bin Haji Abdul Rahman yang antara lain menerangkan, Ramadan adalah penghulu sekalian bulan, bulan penuh keberkatan, bulan penuh kerahmatan, bulan keampunan, bulan pembebasan daripada api neraka, bulan kemenangan, bulan tarbiyah, bulan dilipatgandakan pahala, bulan padanya pintu-pintu syurga dibuka seluas-luasnya, bulan padanya pintu-pintu neraka ditutup rapat-rapat, bulan dibelenggu para syaitan, bulan diturunkan Al-Quran dan bulan kita diwajibkan berpuasa.


"Untuk mendapat rahmat, mesti berpuasa, untuk mendapat keampunan, mesti berpuasa. Dan untuk mendapat syurga, mesti berpuasa, tidak boleh tidak, wajib berpuasa. Tanpa puasa, jangan mimpi untuk mendapat rahmat Allah, untuk mendapat keampunan Allah dan untuk mendapat syurga Allah. Namun, puasa saja-saja, belumlah dapat ditentukan apa hasilnya", tegasnya lagi.


 Awang Haji Ahmad Abdussalam dalam khutbahnya seterusnya menyatakan bahawa berdasarkan dari perkhabaran Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, bahawa terdapat ramai orang yang berpuasa, tetapi puasa mereka tidak diterima.


 Ertinya di sini tambahnya, puasa mereka itu tidak diterima, melainkan yang dapat hanyalah lapar dan dahaga sahaja.


Kerana itu katanya, Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam memperingatkan yang bermaksud "Puasa itu perisai. Maka janganlah dia bercakap kotor dan janganlah dia melakukan kelakuan orang-orang jahil. Dan jika ada orang mengajaknya bertengkar atau mencercanya, maka hendaklah dia berkata : Sesungguhnya saya sedang berpuasa, sesungguhnya saya sedang berpuasa."


Lantaran itu, dalam khutbah menggariskan para ulama telah terdorong membutirkan adab-adab berpuasa, seperti memelihara lidah supaya jangan berdusta, jangan mengumpat dan sebagainya.


"Supaya mengekang mata dan telinga dari melihat dan mendengar yang haram dan sia-sia. Dan turut lebih penting, menahan perut dari memakan makanan yang tidak halal atau syubhah, kerana, jika ini berlaku, dikhuatiri 40 hari ibadah ditolak, tidak diterima. Demikian itu, orang-orang berpuasa wajib mengawal diri dari segala macam benda, atau perkara yang ditegah oleh agama. Kerana semuanya itu, berpotensi merosakkan puasa.


"Dan kerana itu juga, orang berpuasa dituntut untuk bersifat warak. Warak ertinya menjauhkan diri dari perkara haram atau syubhah, dari maksiat dan segala perkara yang sia-sia. Inilah cara untuk menyelamatkan puasa," ujarnya lagi.


Awang Haji Ahmad Abdussalam seterusnya menambah, dari adanya sifat warak, orang akan menjaga makan minumnya, akan membanyakkan membaca Al-Quran, akan suka kepada tarawih, akan menggemari Qiyamullail, akan sedikit ketawa dan banyak menangisnya, akan sedikit berseronok dan lebih banyak ibadahnya. Itulah orang warak.


 Inti pati khutbah selanjutnya menekankan untuk mencari keuntungan berganda, kita lakukan pula Qiyamullail, bangun sembahyang pada tengah malam, yang sangat besar kelebihannya menurut Al-Quran dan Al-Hadis.


 Sementara itu katanya lagi, hadis juga turut menyebut akan kelebihan sembahyang tahajjud pada tengah malam.


Semua ini tegasnya, elok kita direbut dalam bulan Ramadan, kerana pahala dalam bulan Ramadan adalah berlipat ganda.


 "Kemudian, sedikit mengenai sedekah, juga menjanjikan pahala yang sangat hebat.  Semua kebajikan dalam bulan Ramadan adalah peluang untuk kita rebut. Jadi, sama-samalah kita berazam untuk merebutnya. Namun, adakah kebajikan ini terhenti di bulan Ramadan saja? Tidak, jawabnya tidak.


 "Kebajikan ini boleh juga kita amalkan di bulan-bulan lain. Inilah cantiknya Ramadan. Amalan yang dilakukan di bulan Ramadan, jika kita menghayatinya pasti saja kita akan terus melakukan di bulan-bulan lain.


 "Amalan seperti memakan makanan halal, bertahajjud, membaca Al-Quran, bersedekah dan bertutur percakapan yang baik dan sopan, semua ini adalah pengajaran yang kita dapat di bulan Ramadan, dan pengamalannya akan melekat di dalam jiwa dan hati, jika betul-betul kita menghayatinya," jelasnya.


Setelah itu, Sembahyang Fardu Jumaat diimamkan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Masjid An-Na'im, Kampung Panchor Mengkubau, Awang Muhammad Saifullah bin Rosli.


Sebelum berangkat balik, Kebawah DYMM berserta paduka-paduka anakanda baginda berkenan menerima junjung ziarah daripada para jemaah yang hadir.


Pada Jumaat pertama di hari pembukaan rasmi masjid berkenaan, kehadiran para jemaah begitu memberangsangkan sehingga ke ruang luar masjid bagi sama-sama mengimarahkan masjid berkenaan dan berkesempatan bertemu mesra bersama raja yang dicintai rakyat itu.


Masjid An-Na'im Kampung Panchor Mengkubau berkenaan dibina di atas sebidang tanah berkeluasan lapan ekar menggunakan peruntukan di bawah Rancangan Kemajuan Negara (RKN) dengan jumlah BND4.3 juta. Keseluruhan kapasiti Masjid An-Na'im Kampung Panchor Mengkubau berkenaan boleh menampung seramai kira-kira 2,500 jemaah. 


Kemudahan-kemudahan yang disediakan di masjid berkenaan termasuk Dewan Sembahyang Utama Lelaki, Dewan Sembahyang Perempuan, Bilik Kuliah, Bilik Perpustakaan, Pejabat Pentadbiran, Bilik P.A. sistem, tandas dan tempat berwuduk lelaki, tandas dan tempat berwuduk perempuan, tandas Orang Kelainan Upaya (OKU) lelaki, tandas OKU perempuan, bilik pengurusan jenazah, stor dan tempat letak kereta.


Dengan pembukaan Masjid An-Na'im, Kampung Panchor Mengkubau yang dilengkapi pelbagai kemudahan bagi memenuhi keperluan para penduduk kampung khususnya, dan masyarakat amnya, dihasrat dapat memberi keselesaan kepada para jemaah untuk menunaikan sembahyang fardu lima waktu dan Sembahyang Fardu Jumaat.


 Di samping melaksanakan amal ibadat, pembinaan masjid baharu berkenaan juga adalah untuk melaksanakan program keagamaan dan kerohanian bertujuan meningkatkan dan mengembangkan syiar Islam yang secara tidak langsung menyerlahkan lagi perkembangan perkhidmatan ugama, di bawah Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto