Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
Bacaan Yaa Siin, Tahlil di Kubah Makam Diraja
04/03/2025
jpm_040325.jpg 

Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan jabatan-jabatan di bawahnya petang tadi mengadakan Majlis Bertahlil dan Membaca Surah Yaa Siin yang berlangsung di Kubah Makam Diraja, Bandar Seri Begawan, di sini.


Majlis berkenaan adalah khusus bagi ayahanda dan bonda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien ibni Al-Marhum Sultan Muhammad Jamalul Alam dan Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit binti Al-Marhum Pengiran Bendahara Pengiran Anak Abdul Rahman serta paduka anakanda baginda, Al-Marhum Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Haji 'Abdul 'Azim.


Hadir bagi mengetuai rombongan JPM dan jabatan-jabatan di bawahnya ialah  Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof; dan Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah.


Bacaan Surah Yaa Siin dibacakan oleh Timbalan Mufti Kerajaan, Yang Mulia Dato Seri Setia Dr. Haji Japar bin Haji Mat Dain @ Maidin, diikuti dengan bacaan Tahlil beramai-ramai dipimpin oleh Penolong Mufti (Buhuth), Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mazanan bin Haji Yusof.


Manakala, Doa Tahlil dan Doa Peliharakan Sultan dibacakan oleh Ketua Hakim Syar'ie, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar.


Majlis merupakan antara acara keugamaan tahunan JPM dan jabatan-jabatan di bawahnya, yang dikelolakan oleh Pejabat Media-Info dan Pejabat Antarabangsa, dengan kerjasama Jabatan Adat Istiadat Negara dan Biro Mencegah Rasuah selaku Pengendali Bersama bagi acara tahun ini.


Juga hadir ialah jemputan-jemputan khas, Timbalan-timbalan Menteri, Setiausaha Tetap, Timbalan - timbalan Setiausaha Tetap serta para pegawai dan kakitangan JPM dan jabatan - jabatan di bawahnya.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto