Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
Warga JPM, JPI semarakkan Tadarus di Istana Nurul Iman
04/03/2025

jpm_0403251.jpg

Istana Nurul Iman terus diimarahkan dengan Majlis Tadarus pada malam ketiga sempena menyambut Ramadan Al-Mubarak dengan kehadiran kira-kira 800 orang di kedua tempat secara berasingan, malam tadi.


Jumlah berkenaan terdiri daripada 700 warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) iaitu 490 lelaki dan 210 perempuan, 80 pegawai dan guru agama Jabatan Pengajian Islam (JPI) iaitu 50 lelaki dan 30 perempuan serta 20 pembaca khas iaitu 10 lelaki dan 10 perempuan.


Hadir pada majlis tersebut ialah Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof dan Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah.


Juga hadir, Timbalan Menteri (Urustadbir Perkhidmatan Awam) di JPM, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos; Timbalan Menteri (Sekuriti dan Undang-Undang) di JPM, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Sufian bin Haji Sabtu dan Timbalan Mufti Kerajaan, Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Japar bin Haji Mat Dain @Maidin serta Setiausaha-setiausaha Tetap dan Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap serta pegawai-pegawai kanan kerajaan.


Acara bertadarus dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang dikepalai oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Emran bin Haji Kunchang yang kemudiannya juga membacakan Doa Selamat dan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.


Tazkirah bertajuk 'Fadilat Surah Al-Fatihah' turut menyerikan lagi acara berkenaan, masing-masing disampaikan oleh Pegawai Perkembangan Ugama Pusat Da'wah Islamiah (PDI), Awang Muhammad Yusri bin Abd. Majid bagi jemaah lelaki dan penceramah PDI, Dayang Norhayati binti Abd. Rahman di ruangan lain jemaah perempuan.


Awang Muhammad Yusri dalam tazkirahnya antara lain menerangkan bahawa Surah Al-Fatihah diturunkan sebelum peristiwa hijrah dan ia merupakan surah yang agung dan inti pati kitab suci Al-Quran.


Ia tidak pernah diturunkan kepada nabi-nabi terdahulu sebelum Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam. Keistimewaan surah ummul kitab itu juga pernah ditekankan oleh Rasulullah kepada para sahabat untuk tidak sekali-kali melupakan surah tersebut.


Allah Subhanahu Wata'ala memberikan nama Surah Al-Fatihah itu adalah As-Solah kerana apabila surah tersebut dibacakan ia seperti berdialog bersama Allah Subhanahu Wata'ala.


Terdahulu, Sembahyang Fardu Isyak Berjemaah diimamkan oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Emran. Kemudian, Sembahyang Sunat Tarawih pula diimamkan oleh Pengiran Haji Khairul Ikhwan bin Pengiran Haji Alit.


Para jemputan juga berpeluang menyertai acara Tadarus selain memperdengarkan bacaan ayat suci Al-Quran daripada pembaca-pembaca khas dengan mengharap ganjaran pahala berlipat ganda di bulan suci Al-Mubarak ini.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto