
Bagi sama-sama menghidupkan dan menyemarakkan lagi bulan Ramadan yang mulia serta merebut ganjaran pahala dan keberkatan yang dijanjikan Allah Subhanahu Wata'ala, Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan jabatan-jabatan di bawahnya petang tadi mengadakan Majlis Tadarus Ketiga sempena bulan Ramadan bagi Tahun 1446 Hijrah / 2025 Masihi, bertempat di Masjid Kampung Labu Estate, di sini.
Hadir selaku ketua rombongan pada majlis berkenaan, Timbalan Menteri (Urustadbir Perkhidmatan Awam) di JPM, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos.
Turut hadir ialah Setiausaha Tetap dan Timbalan Setiausaha Tetap di JPM, Pemangku Pegawai Pemerintah Daerah Polis Temburong, serta pegawai-pegawai dan kakitangan JPM dan jabatan-jabatan di bawahnya.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, disusuli dengan Tadarus Al-Quran bermula dari juzuk 21 yang dipimpin oleh ketua rombongan.
Sejurus itu, majlis diteruskan dengan penyampaian sumbangan wakaf berupa barangan keperluan masjid yang disampaikan oleh Yang Mulia Timbalan Menteri (Urustadbir Perkhidmatan Awam) di JPM kepada Pegawai Hal Ehwal Masjid, Awang Khairunamirin Fitri bin Haji Samsudin juga selaku Imam masjid berkenaan.
Acara kemudiannya turut diselajurkan dengan menunaikan Sembahyang Fardu Asar Berjemaah.
Majlis Tadarus berkenaan dikelolakan oleh Pejabat Peguam Negara dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Labu Estate.
Sementara itu, Majlis Penutup Tadarus dan Khatam Al-Quran bagi JPM dan jabatan-jabatan di bawahnya akan diadakan pada Sabtu, 14 Ramadan 1446 bersamaan 15 Mac 2025, bertempat di Masjid Ash-Shaliheen, Kompleks Bangunan JPM.
Majlis-majlis keagamaan pada bulan Ramadan seumpama berkenaan merupakan salah satu daripada aktiviti tahunan JPM bagi mengeratkan silaturahim antara pegawai dan kakitangan serta jemaah masjid dan penduduk kampung.
Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto