
Bersempena dengan bulan suci Ramadan, Autoriti Kebangsaan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHENA) petang tadi mengadakan Majlis Tahlil khusus bagi ayahanda dan bonda serta anakanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, iaitu Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien ibni Al-Marhum Sultan Muhammad Jamalul Alam, Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit binti Al-Marhum Pengiran Bendahara Pengiran Anak Abdul Rahman dan Al-Marhum Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Haji 'Abdul 'Azim ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah yang berlangsung di Kubah Makam Diraja, Jalan Tutong, di sini.
Rombongan SHENA diketuai oleh Timbalan Menteri (Sekuriti dan Undang-undang) di Jabatan Perdana Menteri, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Sufian bin Haji Sabtu selaku Pengerusi Lembaga Pengarah SHENA.
Atur cara dimulakan dengan bacaan Surah Yaa Siin yang diketuai oleh Imam Masjid Kampung Pintu Malim, Awang Ahmad Syarkawi bin Mardy dan diikuti dengan bacaan Tahlil, Doa Tahlil dan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Lembaga Pengarah-pengarah SHENA, pengurusan kanan SHENA, kakitangan SHENA, dan pelajar-pelajar dari Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto