Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) berkenan berangkat menghadiri Majlis Khatam Al-Quran sempena Bulan Ramadan anjuran YSHHB 1446 Hijrah / 2025 Masihi. Majlis berlangsung di Dewan An-Naura, Kompleks YSHHB, di ibu negara, petang tadi.
Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman selaku Ahli Jemaah Tadbir YSHHB dan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd. Yusof selaku Ahli Jemaah Tadbir YSHHB.
Turut menjunjung keberangkatan tiba, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof selaku Pengerusi Lembaga Pengarah YSHHB; Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar selaku Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah YSHHB dan Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) di Kementerian Pembangunan, Dr. Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak selaku Pemangku Pengarah Urusan YSHHB.
Atur cara majlis dimulakan dengan bacaan Takhtim Al-Quran dipimpin oleh Guru Sekolah Rendah YSHHB, Awang Muhammad Syazwanshah bin Razali. Bagi majlis ini, seramai 30 pegawai dan kakitangan YSHHB telah mengkhatamkan bacaan Al-Quran masing-masing.
Majlis diteruskan dengan Doa Khatam dan Doa Selamat dibacakan oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Awang Haji Hamidon bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Abdul Hamid. Majlis selanjutnya diteruskan lagi dengan Majlis Berbuka Puasa dan menunaikan Sembahyang Fardu Maghrib Berjemaah.
Juga hadir, Ahli-ahli Lembaga Pengarah YSHHB; Ahli-ahli Lembaga Pemegang Amanah Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Untuk Anak-anak Yatim; para jemputan, pegawai-pegawai dan kakitangan YSHHB serta Guru-guru Sekolah YSHHB.
Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto