
Seramai empat peserta bagi Kategori Menghafaz 30 Juz Al-Quran Berserta Pemahaman Surah Al-Hujurat memperdengarkan bacaan masing-masing pada hari terakhir Musabaqah Menghafaz Al-Quran Berserta Pemahamannya Peringkat Negara Anggota MABIMS Tahun 1446 Hijrah yang berlangsung di Dewan Muzakarah, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof.
Turut hadir, Timbalan Menteri (Sekuriti dan Undang-Undang) di JPM, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Sufian bin Haji Sabtu; wakil bakal Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam (NBD); wakil Pesuruhjaya Tinggi Republik Singapura ke NBD; dan wakil Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Indonesia ke NBD; serta Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Awang Misle bin Haji Abdul Karim.
Juga hadir, para pegawai kanan KHEU dan Kementerian Pertahanan.
Majlis dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Rashidah Sa'adatul Bolkiah, Kampung Sungai Akar, Awang Muhammad Tsuufiy bin Haji Abdul Wahab.
Pemangku Pengarah Pusat Pengajian dan Penyebaran Al-Quran MABIMS, KHEU, Awang Mohammad Ali Sabri bin Haji Yusof, dalam ucapan alu-aluannya antara lain menyatakan bahawa usaha berkebajikan seumpama ini adalah satu perkembangan positif yang patut diteruskan yang mana pihak Urusetia Jawatankuasa telah berjaya mengumpulkan peserta-peserta daripada negara anggota MABIMS untuk menyertai musabaqah pada tahun ini.
Berucap selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Musabaqah Menghafaz Al-Quran Berserta Pemahamannya Peringkat Negara Anggota MABIMS Tahun 1446 Hijrah, beliau menambah, dengan adanya penyertaan dari negara-negara anggota MABIMS akan dapat mempereratkan lagi jalinan kerjasama di masa-masa akan datang.
Beliau seterusnya, menyatakan bahawa tujuan musabaqah diadakan adalah untuk membantu mencapai visi dan misi MABIMS iaitu menggerakkan proses pengembangan dan penyebaran Al-Quran serta pengajarannya di kalangan negara-negara anggota MABIMS.
Kemudian, acara diteruskan dengan Musabaqah bagi Kategori Menghafaz 30 Juz Al-Quran Berserta Pemahaman Surah Al-Hujurat.
Objektif musabaqah antara lain adalah untuk mewujudkan kerjasama negara-negara anggota MABIMS dengan Negara Brunei Darussalam dalam bidang pengajian dan penyebaran Al-Quran serta menggalakkan ummah untuk berkecimpung dalam bidang hafazan Al-Quran, seterusnya beramal dan menghayatinya dalam kehidupan seharian di samping mengeratkan hubungan integrasi negara-negara anggota MABIMS khususnya dalam bidang Al-Quran.
Musabaqah Menghafaz Al-Quran Berserta Pemahamannya Peringkat Negara Anggota MABIMS merupakan salah satu projek Dwi Tahunan KHEU bertujuan menyemarakkan Hari-Hari Kebesaran Islam dan ia juga merupakan pengisian dalam atur cara Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negara.
Pengumuman keputusan musabaqah dan pengurniaan hadiah-hadiah bagi para peserta akan diadakan di Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negara Tahun 1446 Hijrah iaitu pada Isnin malam Selasa, 17 Ramadan 1446 bersamaan 17 Mac 2025, bermula 9.00 malam bertempat di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.
Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto