Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada tahun ini sekali lagi telah berkenan mengurniakan kurnia peribadi baginda kepada seramai 17,352 penerima di seluruh negara daripada golongan-golongan tertentu terdiri daripada Orang-orang Berkeperluan Khas, anak-anak yatim, orang fakir miskin, dan penerima Bantuan Kebajikan Bulanan sempena Hari Raya Aidilfitri 1446 Hijrah / 2025 Masihi.
Kurnia peribadi baginda ini adalah merupakan kali ke-16 ia diadakan bertujuan untuk membantu meringankan bebanan golongan-golongan yang tertentu di negara ini.
Majlis Penyampaian Kurnia Peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Kepada Golongan Tertentu sempena Hari Raya Aidilfitri Tahun 1446 Hijrah / 2025 Masihi pada kali ini dimulakan dengan pengagihan kurnia peribadi oleh paduka-paduka anakanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam selaku wakil-wakil peribadi baginda secara serentak di keempat-empat daerah dan kemudiannya diikuti dengan pengurniaan di beberapa pusat-pusat pengagihan yang telah ditetapkan.
Berangkat bagi memulakan pengurniaan kurnia peribadi sebagai wakil peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia bagi Daerah Brunei dan Muara (DBM) di Istana Nurul Iman ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah di Dewan Resepsi dijunjung oleh Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar.
Pada majlis berkenaan, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berkenan menyampaikan kurnia peribadi Kebawah DYMM kepada seramai 1,000 penerima bagi DBM.
Sementara itu di ruang lain di Istana Nurul Iman, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa'adatul Bolkiah binti Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah berkenan berangkat selaku wakil peribadi Kebawah DYMM menyampaikan kurnia peribadi di Baitur Rahmah.
Keberangkatan tiba Yang Teramat Mulia dijunjung oleh Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah.
Bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat dipimpin oleh Yang Arif Awang Haji Hassan bin Haji Metali. Pada majlis berkenaan, YTM berkenan menyampaikan kurnia peribadi Kebawah DYMM kepada seramai 1,000 penerima.
Pengurniaan kurnia peribadi Kebawah DYMM oleh paduka-paduka anakanda baginda di keempat-empat daerah pada hari ini menandakan bermulanya pengagihan kurnia-kurnia peribadi baginda dan diikuti kemudiannya dengan pengurniaan di pusat-pusat pengagihan yang telah ditetapkan.
Pengurniaan di pusat-pusat pengagihan bermula dari 20 hingga 22 Mac iaitu Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas dan Dewan Canselor Universiti Brunei Darussalam bagi DBM; Dewan Pusat Insani Seria bagi Daerah Belait dan Dewan Utama, Kompleks Dewan Kemasyarakatan Tutong bagi Daerah Tutong.
Pengurniaan yang bermula hari ini jelas memperlihatkan keprihatinan Kebawah DYMM yang berterusan terhadap memeduli kesejahteraan dan hal ehwal golongan-golongan tertentu di negara ini agar mereka tidak terkecuali dari mendapat perhatian berterusan baginda lebih-lebih lagi dalam suasana negara ini tidak lama lagi akan menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Selain itu, para penerima juga menerima buah tangan sebelum meninggalkan istana sebagai tanda prihatin baginda serta berkongsi kegembiraan bersama.
Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto