Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
163 anak yatim diraikan pada Majlis Iftar Ramadan
19/03/2025

mjpm_190325.jpeg

Sempena bulan Ramadan Al-Mubarak ini, Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, dengan kerjasama Jabatan Pengajian Islam (JPI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) telah mengadakan Majlis Iftar Ramadan bersama 163 anak yatim daripada Sanah 6, sekolah-sekolah Arab dan Darjah 4 sekolah-sekolah ugama.


Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof.


Menurut Hotel Antarabangsa Rizqun, pada tahun ini, pihaknya telah menjemput anak-anak yatim dari sekolah-sekolah Arab dan sekolah-sekolah ugama di negara ini.


Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar, Surah Al-Fatihah, Surah Yaa Siin, Tahlil serta Doa Arwah yang dipimpin oleh Awang Mohammad Zamery Haji Nayan dari JPI.


Sebelum majlis bersurai, tetamu kehormat majlis dan Ahli-ahli Lembaga Pengarah Hotel Antarabangsa Rizqun turut menyampaikan paket hijau kepada anak-anak yatim yang diraikan berkenaan.


Majlis berkenaan merupakan amal infak pihak Abdul Razak Holdings dalam mengambil sukut baik keberkatan bulan Ramadan dan secara tidak langsung dihasratkan dapat membantu meringankan perbelanjaan anak-anak yatim menjelang Sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini.


Di samping itu, ia juga untuk sama-sama mendoakan mereka yang telah kembali ke rahmatullah khususnya ibu bapa dan penjaga anak-anak yatim serta umat Islam amnya.


Turut hadir ialah Ahli-ahli Lembaga Pengarah Abdul Razak Holdings dan Pengarah Hotel Antarabangsa Rizqun.​

Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Hal Ehwal Ugama