Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
Ribuan rakyat junjung ziarah bersama raja yang dikasihi
01/04/2025

hm_010425.jpg

Majlis Junjung Ziarah bersempena Hari Raya Aidilfitri 1446 Hijrah / 2025 Masihi Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam berserta kerabat diraja merupakan suatu kesempatan yang sangat dinantikan setelah lima tahun ditiadakan sejak wabak COVID-19 melanda dunia ketika itu.


Sehubungan itu, hari pertama Istana Nurul Iman dibuka hari ini mendapat sambutan begitu menggalakkan daripada rakyat dan penduduk di Negara Brunei Darussalam dengan menerima kunjungan seramai 21,106 pengunjung hadir pada sesi pagi.


Berangkat bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi menerima junjung ziarah daripada para pengunjung lelaki pada sebelah pagi yang berlangsung di Baitur Rahmah, Istana Nurul Iman ialah paduka-paduka anakanda dan adinda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah serta kerabat diraja yang lain.


Sementara itu, di ruang Istana yang lain pula, berangkat bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha dan seterusnya berkenan menerima junjung ziarah daripada para pengunjung wanita ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa'adatul Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Majeedah Nuurul Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri 'Azemah Ni'matul Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah, Yang Amat Mulia Pengiran Bini Hajah Faizah binti Dato Haji Nasir dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Amal Umi Kalthum Al-Islam dan cucunda-cucunda baginda serta kerabat diraja yang lain.


Majlis Junjung Ziarah di Istana Nurul Iman yang dibukakan kembali kepada orang ramai selama dua hari pada Hari Raya Kedua dan Hari Raya Ketiga ini mencerminkan keprihatinan, kemesraan dan ketulusan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri untuk sama-sama meraikan Hari Raya Aidilfitri bersama orang ramai pada tahun ini, di mana majlis ini merupakan momen yang sangat dinanti-nantikan oleh para pengunjung dalam dan luar negara, lebih-lebih lagi setelah Majlis Junjung Ziarah sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Istana Nurul Iman ditutup akibat berlakunya penularan pandemik COVID-19 beberapa tahun yang lalu.


Majlis ini juga memberikan peluang keemasan kepada seluruh lapisan masyarakat untuk sama-sama berkongsi kegembiraan dan kemeriahan Sambutan Hari Raya Aidilfitri, dengan mengadap, berjunjung ziarah dan beramah mesra serta untuk menyembahkan sembah ucapan Hari Raya Aidilfitri Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri.


Sebelum memulakan Majlis Junjung Ziarah, para pengunjung terlebih dahulu menikmati beraneka juadah jamuan yang disediakan. Sifat pemurah dan dermawan Kebawah DYMM yang juga berkenan mengurniakan duit raya kepada kanak-kanak tidak mengira bangsa dan agama, di samping cenderahati serta kad ucapan Hari Raya baginda akan tetap menjadi kenangan abadi kepada setiap pengunjung.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto