Pada hari pertama Majlis Junjung Ziarah bersempena Hari Raya Aidilfitri 1446 Hijrah / 2025 Masihi di Istana Nurul Iman, hari ini telah menerima kunjungan seramai 36,167 pengunjung yang mana 21,106 pengunjung hadir pada sesi pagi dan 15,061 pengunjung hadir pada sesi petang.
Pada sebelah petang di Baitur Rahmah, Istana Nurul Iman, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam mula-mula berkenan menerima mengadap dan junjung ziarah daripada Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Menteri Kedua Pendidikan dan Menteri Kedua Ehwal Luar, Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Dr. Mohamad Maliki bin Osman; dan Menteri Negara, Kementerian Undang-Undang dan Kementerian Pengangkutan, Tuan Yang Terutama Murali Pillai serta delegasi dari Republik Singapura. Di kesempatan ini, Tuan-Tuan Yang Terutama menyembahkan sembah ucapan Hari Raya Aidilfitri Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan ahli-ahli kerabat diraja.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berserta kerabat diraja kemudiannya berkenan menerima junjung ziarah yang terdiri daripada warga Perkhidmatan Awam dan orang ramai.
Berangkat bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi menerima junjung ziarah pengunjung lelaki ialah paduka-paduka anakanda dan adinda Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah berserta kerabat diraja.
Sepertimana lazimnya pada tahun-tahun sebelumnya, lebih-lebih lagi setelah Majlis Mengadap dan Junjung Ziarah Hari Raya Aidilfitri di Istana Nurul Iman ditutup akibat berlakunya penularan pandemik COVID-19 beberapa tahun lalu, peluang keemasan seumpama itu sememangnya amat dinanti-nantikan oleh seluruh lapisan rakyat dan penduduk di negara ini dan tidak ketinggalan kepada pelancong-pelancong asing mengabadikan peluang bersemuka dengan raja yang dikasihi berserta kerabat diraja yang akan diabadikan sepanjang hayat.
Majlis Mengadap dan Junjung Ziarah Hari Raya Aidilfitri tersebut mencerminkan sifat kemesraan Kebawah DYMM serta kerabat diraja yang lain beramah mesra serta berinteraksi bersama para pengunjung dengan penuh ketulusan dalam mengukuhkan hubungan serta melahirkan rasa muhibah tanpa mengira bangsa dan agama.
Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto