Ribuan pengunjung dari setiap lapisan masyarakat di negara ini tidak melepaskan peluang untuk berkunjung ke Istana Nurul Iman untuk sama-sama memeriahkan Majlis Junjung Ziarah bersempena Hari Raya Aidilfitri 1446 Hijrah / 2025 Masihi Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Pada hari kedua Istana Nurul Iman dibukakan kepada orang ramai, sejumlah 25,721 pengunjung yang mana 17,266 pengunjung hadir pada sebelah pagi dan 8,455 pengunjung hadir pada sebelah petang.
Peluang keemasan ini sememangnya menjadi detik kenangan yang tidak dapat dilupakan bagi para pengunjung kerana berpeluang untuk meraikan Hari Raya Aidilfitri bersama raja tercinta serta ahli-ahli kerabat diraja.
Pada sebelah petang di Baitur Rahmah, Istana Nurul Iman, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan menerima Junjung Ziarah bagi pengunjung lelaki.
Berangkat bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia bagi menerima junjung ziarah ialah paduka-paduka anakanda dan adinda Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik, dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah serta ahli-ahli kerabat diraja.
Di samping kemeriahan Majlis Junjung Ziarah, para pengunjung juga dijemput untuk menikmati beraneka juadah jamuan yang disediakan.
Peluang bersemuka dengan Kebawah DYMM serta pengurniaan cenderahati dan kad ucapan hari raya, juga duit raya kepada kanak-kanak tanpa mengira bangsa dan agama, mencerminkan kemurahan hati dan sifat dermawan Kebawah DYMM.
Sepanjang dua hari Istana Nurul Iman dibukakan kepada orang ramai bagi Majlis Junjung Ziarah ini, seramai 61,888 pengunjung telah sama-sama hadir memeriahkan majlis yang penuh makna ini dan sudah setentunya akan terus menjadi ingatan dan kenangan kepada para pengunjung.
Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto