Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
Lawatan memperkukuh kerjasama dua hala dalam bidang keselamatan awam
03/04/2025

jpm_030425.jpg

Delegasi bertaraf tinggi dari Kementerian Keselamatan Awam, Republik Rakyat China telah mengadakan Lawatan Rasmi buat julung kalinya ke agensi-agensi keselamatan dan penguatkuasaan di Negara Brunei Darussalam (NBD).


Delegasi yang diketuai oleh Vice-Governor of Shanxi Province and Director of the Public Security Department of Shanxi Province, Tuan Yang Terutama Dai Binbin telah berada di negara ini pada 27 hingga 30 Mac 2025 atas jemputan dari Jabatan Perdana Menteri (JPM).


Delegasi telah mengadakan Kunjungan Muhibah pada 29 Mac yang lalu bersama Timbalan Menteri (Sekuriti dan Undang-Undang) di JPM, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Sufian bin Haji Sabtu.


Perjumpaan ini merupakan kesinambungan daripada hasil mesyuarat dua hala yang diadakan di antara JPM dan Kementerian Keselamatan Awam, Republik Rakyat China pada 9 September 2024 bersempena Persidangan Global Public Security Cooperation Forum 2024 di Lianyungang, Republik Rakyat China.


Semasa perjumpaan bersama Yang Mulia Timbalan Menteri (Sekuriti dan Undang-Undang) di JPM, kedua-dua buah negara telah menzahirkan komitmen untuk menerokai peluang-peluang bagi mengukuhkan lagi kerjasama dua hala dalam bidang keselamatan awam pada masa yang terdekat khususnya berhubung isu-isu kepentingan bersama seperti jenayah siber dan penyalahgunaan dan penyeludupan dadah.


Turut hadir pada sesi tersebut, Pemangku Setiausaha Tetap (Sekuriti dan Undang-Undang), JPM, Awang Zulhusam bin Haji Abdul Samad.


Pada hari yang sama, delegasi Kementerian Keselamatan Awam, Republik Rakyat China juga telah mengadakan kunjungan bersama Pemangku Pesuruhjaya Polis, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Dato Seri Pahlawan Awang Sulaiman bin Alidin.


Semasa kunjungan tersebut, pegawai-pegawai kanan dari PPDB dan Kementerian Keselamatan Awam, Republik Rakyat China telah berpeluang untuk membincangkan isu-isu dan trend jenayah yang menarik perhatian agensi-agensi keselamatan dan penguatkuasaan di kedua-dua buah negara.


Turut berangkat dan hadir pada sesi berkenaan, Pemangku Timbalan Pesuruhjaya Polis, Yang Amat Mulia SAC Pengiran Anak Haji Mohammed Saifullah bin Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris. Seterusnya delegasi juga berpeluang untuk mengadakan lawatan ke Muzium PPDB.


Delegasi juga telah mengadakan lawatan ke Pusat Al-Islah di Kampung Kupang, Tutong untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai pendekatan yang diambil oleh NBD dalam menangani isu penyalahgunaan dan penagihan dadah.


Semasa berada di Pusat Al-Islah, Tuan Yang Terutama Dai Binbin berserta pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Keselamatan Awam, Republik Rakyat China juga telah mengadakan perjumpaan bersama Pengarah Biro Kawalan Narkotik (BKN), Dato Paduka Awang Haji Mohd. Zalani bin Haji Ismail bagi membincangkan peluang-peluang kerjasama di antara Kementerian Keselamatan Awam, Republik Rakyat China dan pihak BKN dalam membanteras isu-isu jenayah yang melibatkan penyeludupan dan penyalahgunaan dadah haram.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto Jabatan Perdana Menteri