Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
Keceriaan persembahan warnai Hari Raya YSHHB
12/04/2025

 


Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 1446 Hijrah / 2025 Masihi anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) diserikan dengan persembahan pentas berwarna-warni pada acara berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.

Persembahan yang ditunjukkan Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berserta kerabat diraja dipersembahkan daripada para pelajar Sekolah YSHHB iaitu gabungan daripada kanak-kanak Taman Asuhan Kanak-kanak, murid-murid sekolah rendah dan penuntut-penuntut sekolah menengah dengan pimpinan tenaga pengajar YSHHB.

Mengetengahkan tiga segmen, persembahan pertama berjudul 'Perpaduan Masyarakat Mencapai Aspirasi Negara' yang menceritakan tentang Ketahanan (Resilience) dengan memfokuskan kepada harapan pada masa depan ke arah mencapai aspirasi negara Wawasan Brunei 2035.

Bermula dengan peranan ibu bapa, menyalakan 'harapan dan impian' dalam diri anak kecil melalui pengetahuan dan imaginasi. Ia adalah benih yang ditanam dalam diri setiap rakyat tempatan.

Walaupun pada usia muda, kanak-kanak mewujudkan harapan dan impian tersebut dalam kehidupan seharian mereka dan selain itu, ia juga lambang ketahanan yang ditanai oleh setiap generasi ke arah cabaran yang semakin meningkat.

Segmen itu juga menceritakan walaupun berbeza umur, latar belakang, warna kulit, etnik atau kewarganegaraan, namun semua bersatu bersama ke arah aspirasi yang sama iaitu 'harapan dan impian' berkenaan.

Manakala sinopsis segmen kedua ialah YSHHB Menjana Kesejahteraan Rakyat yang menceritakan mengenai harapan dengan memfokuskan seorang pegawai YSHHB memberinya harapan dan peluang yang mengubah hidupnya.

Cerita segmen berkenaan memfokuskan bagaimana seorang bernama Hidayat merupakan seorang pegawai di YSHHB, mengimbau kenangannya, di tengah-tengah perjuangannya dahulu di mana YSHHB memberinya harapan dan peluang yang mengubah hidupnya.

Selaku seorang wakil YSHHB memberinya peluang sebagai anak muda daripada golongan kurang berkemampuan untuk mendapat pendidikan yang sewajarnya.

Selain itu, persembahan ini mengimbas kembali bagaimana penyertaannya sebagai Sukarelawan, Belia Masjid dan PKBN dalam membantu membentuk sahsiahnya secara holistik untuk menjadi warganegara yang bertanggungjawab.

Pada segmen ketiga pula iaitu 'Hari Raya, Hari Yang Gembira' memfokuskan pada perayaan dan bagaimana orang 'kitani' biasanya menunggu pengumuman anak bulan Syawal dan semua orang panik pada malam sebelum Hari Raya. Sesetengah keluarga akan sibuk mencuba pakaian, mengemas rumah dan sebagainya.

Kemudian di pagi raya dengan laungan takbir jelas terlihat keterujaan kanak-kanak bersalaman dan bermaafan bersama ibu bapa dan keluarga dengan menghulur duit raya.

Pelita Brunei sempat menemu bual Pengetua Sekolah Menengah YSHHB, Dayang Sarimah binti Haji Lusin menjelaskan, persembahan pada sambutan kali ini dijayakan seramai 176 pelajar terdiri daripada peringkat TASKA, sekolah rendah dan sekolah menengah.

Dayang Sarimah menjelaskan, tema persembahan 'Perpaduan Masyarakat Mencapai Aspirasi Negara' dipilih untuk selaras dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035 yang menekankan kepentingan perpaduan masyarakat sebagai asas dalam membina rakyat yang berpendidikan, berkemahiran dan berjaya; menikmati kualiti hidup yang tinggi serta memiliki ekonomi yang berdaya tahan.

Katanya, ia juga mencerminkan hasrat nasional untuk memupuk keharmonian, kerjasama dan saling menghormati dalam kalangan masyarakat, yang menjadi kunci dalam mengatasi cabaran dan mencapai kemajuan bermakna.

Tambahan pula, ia memperlihatkan komitmen YSHHB untuk memperkukuh kerjasama dan solidariti demi kemajuan negara.

Sementara itu, pemilihan peserta persembahan ujarnya adalah melalui uji bakat dibuat pada bulan Januari dan latihan intensif bermula pada bulan Februari hingga Mac di peringkat sekolah dan latihan di ICC bermula pada 7 hingga 10 April 2025.

Pengetua Sekolah Menengah YSHHB seterusnya melahirkan penghargaan terima kasih yang tidak terhingga kepada ibu bapa atas sokongan yang berterusan serta dorongan dan komitmen tinggi mereka termasuk kepada para guru jurulatih dari Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, dedikasi anda dalam membimbing pelajar amat luar biasa.

Katanya, mereka tidak hanya berkongsi ilmu dan kemahiran tetapi juga menerapkan semangat kerjasama yang tinggi, sebagai sebuah komuniti, kita telah mencipta sesuatu yang sangat istimewa. Persembahan ini adalah cerminan daripada usaha, kerjasama dan kesatuan. 

Dayang Sarimah selanjutnya berharap agar aktiviti seumpama itu akan terus membuka peluang pelajar untuk memberikan sokongan antara satu sama lain dan beliau yakin para pelajar akan menyerlah dan menjadi modal insan yang holistik dan berkualiti.

Keterujaan juga turut dirasa oleh Syafiq Abdilah selaku artis penyanyi jemputan dalam terlibat sama menjayakan dan mewarnai kemeriahan persembahan sambutan kali ini.

Perasaan gembira dan pada masa yang sama juga gemuruh berikutan pertama kali didendangkan Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berserta kerabat diraja yang lain namun Syafiq berjaya mempersembahkannya dengan nyanyian lagu rayanya bertajuk 'Hari Kemenangan Kita' hasil ciptaan Pengiran Md. Yusri bin Pengiran Haji Yahya yang sudah mulai menjalani latihan sejak bulan puasa lagi.

Lagu yang dicipta itu istimewa khusus untuk Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran YSHHB kali ini yang antara lain menceritakan pengalaman yang dilalui semasa raya dan ucapan tanda menghulur kemaafan.

Para pelajar YSHHB yang menyertai persembahan setentunya menjadikannya satu momen yang sememangnya tidak dapat dilupakan terutama sekali ia merupakan peluang keemasan untuk mencerminkan kegembiraan Aidilfitri mereka ke hadapan majlis raja tercinta dan juga kerabat diraja yang lain.

Danish Zuhairi bin Hashim Muddin, Awangku Mohd. Aisy bin Pengiran Haji Bahrin dan Mohamed Noah Irfan bin Mohamed Shahrol, merupakan pelajar 9 Fast bersyukur dapat lagi menyumbang tenaga dengan mengikuti persembahan khusus pada sambutan kali ini dan ia akan menjadi kenangan yang tidak dapat dilupakan sampai bila-bila.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto