Satu Majlis Resepsi Petang telah diadakan di Indera Samudra Grand Hall, The Empire Brunei bagi meraikan kembalinya Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB) ke Beijing, Republik Rakyat China.
Majlis tersebut menandakan penubuhan semula sambungan atau laluan antara dua ibu kota, iaitu Negara Brunei Darussalam (NBD) dan Republik Rakyat China.
Hadir selaku tetamu kehormat bagi melancarkan acara berkenaan, Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid juga selaku Pengerusi Lembaga Pengarah RB.
Juga hadir, Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin; Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha; Timbalan Menteri (Urustadbir Perkhidmatan Awam) di Jabatan Perdana Menteri, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos selaku Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah RB; dan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Rakyat China ke NBD, Tuan Yang Terutama Xiao Jianguo.
Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan Doa Selamat oleh Imam Surau Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, Awang Haji Mohd. Ashraf bin Haji Bujang.
Ketua Pegawai Eksekutif RB, Kapten Sabirin bin Haji Abdul Hamid dalam ucapan alu-aluannya antara lain menjelaskan sebagai sebahagian daripada Sambutan Ulang Tahun RB yang Ke-50, mereka berbesar hati untuk mengumumkan kembalinya penerbangan kami ke Beijing, Republik Rakyat China, bermula 28 April 2025, dengan perkhidmatan dua kali seminggu yang akan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing Daxing.
Menurutnya, penerbangan akan berlepas dari Bandar Seri Begawan (BSB) pada Isnin dan Khamis, dan dari Beijing pada Selasa dan Jumaat, menggunakan pesawat Airbus A320neo RB.
Sebelum pandemik COVID-19 katanya, RB menyaksikan peningkatan ketara dalam ketibaan pelancong dari Republik Rakyat China.
“Brunei telah menerima kira-kira 104,954 warga Republik Rakyat China, dan kehadiran mereka telah menyumbang secara signifikan kepada ekonomi tempatan.
“Angka-angka ini bukan sekadar statistik, tetapi mencerminkan hubungan erat dan minat bersama antara kedua-dua negara. Namun, apabila pandemik melanda, jumlah ketibaan merosot dengan ketara sebanyak 85 peratus kepada purata hanya 15,499 sehingga Oktober 2024," ujarnya.
Akibat daripada perkara tersebut jelasnya, permintaan terhadap perkhidmatan terus tidak lagi mampan, dan RB terpaksa membuat keputusan sukar untuk menggantung sementara laluan berkenaan.
Hari ini tegas Kapten Sabirin lagi, melalui usaha kerjasama, promosi yang disasarkan, dan pembaharuan perkongsian, RB sedang berusaha untuk membina semula minat dan hubungan tersebut.
Terangnya, laluan berkenaan merupakan jambatan peluang kerana ia menghubungkan semula saluran pelancongan, perdagangan, dan potensi pelaburan antara kedua-dua negara.
“Dengan sambungan yang lancar melalui rangkaian RB, perkhidmatan ini akan menawarkan akses yang mudah bukan sahaja antara NBD dan Beijing, tetapi juga ke banyak destinasi lain dalam peta laluan RB yang semakin berkembang.
“Bermula 19 Mei 2025, RB juga berbangga untuk mengumumkan bahawa perkongsian perkongsian kod sedia ada kami dengan China Eastern Airlines akan turut merangkumi laluan BSB - Beijing," katanya lagi.
Melalui perkongsian yang semakin berkembang berkenaan tambahnya lagi, RB menjangkakan bahawa pada masa akan datang, para penumpangnya akan dapat meneroka lebih banyak bandar di seluruh Republik Rakyat China dengan mudah melalui Beijing.
Majlis turut diserikan dengan paparan sekilas tentang Beijing serta persembahan kebudayaan daripada Persekutuan Wushu Brunei dan Pasukan Tarian Singa Sekolah Menengah Chung Hwa (CHMS).
Laluan NBD - Beijing akan menggunakan pesawat Airbus A320neo RB yang moden dan jimat bahan api, memberikan pengalaman penerbangan yang lebih selesa dan mesra alam kepada para penumpang dengan perkhidmatan penuh di dalam pesawat oleh kru kabin RB yang telah memenangi anugerah.
Penerbangan RB akan meningkatkan hubungan untuk pengembara korporat, pelajar, dan pelancong, sekali gus memperkukuh lagi hubungan ekonomi antara kedua-dua negara.
Bagi memastikan kejayaan laluan berkenaan, RB akan terus bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan utama di NBD dan Republik Rakyat China termasuk lembaga pelancongan, agensi kerajaan, dan rakan pelancongan.
Para penumpang RB juga boleh meneroka bandar-bandar lain di Republik Rakyat China melalui Beijing dengan perjanjian perkongsian kod bersama China Eastern Airlines.
Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto