Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
Al-Quran sebagai panduan hidup sempurna
24/04/2025

 


Musabaqah Membaca Al-Quran seperti ini memainkan peranan besar dalam meningkatkan kecintaan umat Islam terhadap Al-Quran. Bacaan yang tartil dan indah menyentuh hati, sementara penghayatan isi kandungannya menggerakkan akal untuk berfikir secara mendalam dan bijaksana.

Firman Allah Subhanahu Wata'ala, dalam Surah Al-An'am, ayat 50 yang tafsirnya : “Tidakkah kamu mahu berfikir?". Ayat ini menyeru umat Islam untuk menggunakan akal dengan penuh hikmah, berpandukan Al-Quran dalam segala aspek kehidupan dan akal yang sihat adalah asas kepada masyarakat yang maju dan sejahtera.

Kecemerlangan akal hanya dapat dicapai apabila ia dipandu oleh wahyu Ilahi, iaitu Al-Quran.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah demikian sempena Majlis Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan bagi Tahun 1446 Hijrah / 2025 Masihi yang berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam seterusnya bertitah, Al-Quran mendidik akal untuk mengenal perkara-perkara baik dan buruk, memberi pertimbangan yang adil, serta menyatukan ilmu duniawi dengan nilai-nilai ukhrawi. Oleh itu, usaha menjaga kesahihan dan kesucian mushaf Al-Quran adalah satu amanah yang mesti diberi perhatian utama.

Dalam hubungan ini titah baginda lagi, bagi memastikan setiap bahan-bahan terbitan yang meliputi mushaf Al- Quran untuk diterbitkan, dicetak dan diedarkan di negara ini hendaklah memenuhi piawaian yang tinggi.

“Beta berpendapat adalah baik bagi agensi-agensi yang berkaitan memperkemaskan lagi garis panduan yang sedia ada dengan mewujudkan satu akta khas penerbitan, pencetakan dan pemuliaan mushaf Al-Quran bagi Negara Brunei Darussalam.

“Beta berharap ia akan dapat dimanfaatkan dalam memastikan setiap mushaf yang akan diguna pakai itu memenuhi kaedah Rasm Uthmani yang diiktiraf di peringkat antarabangsa," tegas Kebawah Duli Yang Maha Mulia lagi.

Hubungan di antara tema dengan keperluan akta ini titah Kebawah DYMM lagi, mengingatkan kita kepada, bahawa Al-Quran bukan sekadar bacaan, tetapi sebuah manual kehidupan yang mendidik akal budi untuk mengenal hikmah dan kebenaran.

Dengan adanya akta ini tegas titah baginda, kita dapat memastikan bahawa mushaf Al-Quran yang digunakan oleh umat Islam di negara ini adalah sahih, sekali gus menjamin keaslian panduan Al-Quran dalam mencerdaskan akal dan jiwa.

Terdahulu, Kebawah DYMM bertitah, alhamdulillah, dengan berkat dan mukjizat Al-Quran jua, maka dapatlah kita berhimpun pada malam yang penuh keberkatan ini untuk sama-sama memeriahkan Majlis Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan bagi Tahun 1446H bersamaan 2025M.

Tema musabaqah tahun ini, titah baginda, iaitu 'Akal sihat dengan Al-Quran', amat bertepatan dengan peranan Al- Quran sebagai panduan hidup yang sempurna.

Al-Quran tegas Kebawah DYMM lagi, bukan sahaja memberi pencerahan kepada akal fikiran, tetapi juga mendidik jiwa untuk memahami erti kebenaran, keadilan dan kehidupan yang aman serta sejahtera.

Mengakhiri titah, baginda berharap, pihak- pihak berkenaan akan dapat memberikan sokongan padu dalam usaha-usaha berkebajikan ini, dan juga yang berkait rapat dengan pengukuhan amalan supaya tidak terpesong atau tersasar dari landasan pegangan akidah Ahli Sunnah Waljamaah Mazhab Syafi'e.

“Laungan Kalamullah yang sentiasa bergema di muka bumi Brunei Darussalam ini tidak diragukan lagi adalah pemangkin kepada kesejahteraan negara dan kemakmurannya," titah Kebawah DYMM lagi.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto