Brunei DPMM FC mengutip tiga mata penuh selepas mengalahkan Tanjong Pagar United FC dengan keputusan 2 - 1 pada perlawanan Liga Perdana Singapura 2024/2025 (Singapore Premier League - SPL) yang berlangsung di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, di sini.
Berangkat menyaksikan perlawanan berkenaan, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri.
Juga berangkat, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah.
Terdahulu, keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dijunjung oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Awang Mohamad.
Pada babak pertama perlawanan menyaksikan Brunei DPMM FC lebih menguasai perlawanan dan berjaya menjaringkan gol seawal minit ke-9 menerusi tendangan kencang pemain importnya, Davis Ikaunieks ke pintu gawang pihak lawan.
Kedua-dua pasukan saling silih berganti mengatur serangan, namun Brunei DPMM FC sekali lagi berjaya menjaringkan gol melalui sepakan Davis Ikaunieks pada minit ke-30.
Bersambung pada babak kedua perlawanan, kedua-dua pasukan terus menggandakan asakan untuk mendapatkan gol namun tetap menemui jalan buntu.
Sementara pada minit ke-82, Tanjong Pagar United FC akhirnya bangkit dan berhasil membolosi gawang Brunei DPMM FC menerusi Sahil Suhaimi.
Kedudukan 2 - 1 kekal hingga wisel penamat sekali gus menjadikan Brunei DPMM FC berjaya menambah tiga mata penuh dengan mengumpul keseluruhan 35 mata dan kekal di tangga keenam.
Pertemuan seterusnya Brunei DPMM FC di gelanggang luar ialah pada 11 Mei ini yang akan berhadapan dengan Balestier Khalsa.
Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto