Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
Majlis Santap Negara bagi meraikan Presiden Republik Kosovo
05/05/2025

 


Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam berkenan berangkat ke Majlis Santap Negara bagi meraikan Presiden Republik Kosovo, Puan Yang Terutama Datin Laila Utama Dr. Vjosa Osmani-Sadriu, dan First Gentleman, Mr. Prindon Sadriu, yang mengadakan Lawatan Negara ke negara ini.

Berangkat sama, paduka-paduka anakanda dan adinda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.

Juga berangkat, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa'adatul Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Majeedah Nuurul Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Amal Umi Kalthum Al-Islam.

Majlis Santap Negara yang diadakan di Istana Nurul Iman berkenaan dimulakan dengan bacaan Doa Selamat oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan mengurniakan titah, diikuti dengan ucapan balas daripada Puan Yang Terutama Datin Laila Utama Presiden Republik Kosovo.

PYT Datin Laila Utama Dr. Vjosa Osmani-Sadriu dalam ucapan balasnya menzahirkan penghargaan yang mendalam atas sambutan luar biasa yang diberikan kepada delegasi Republik Kosovo, serta penghormatan berterusan yang ditunjukkan terhadap negara dan rakyatnya.

PYT Datin Laila Utama menyembahkan bahawa ia merupakan satu penghormatan besar dapat mengadakan lawatan ke Negara Brunei Darussalam (NBD), lebih-lebih lagi sebagai pemimpin Republik Kosovo yang pertama yang mengadakan lawatan negara ke NBD.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan NBD sembah PYT lagi, merupakan antara rakan yang berdiri bersama Republik Kosovo dalam masa sukar dan masa senang mereka.

"Hari ini, saya membawa bersama harapan rakyat saya, harapan untuk hubungan baharu antara belia kita, harapan untuk berkongsi peluang dalam bidang-bidang yang menjadi kepentingan bersama, dari pendidikan hinggalah inovasi, dan harapan untuk persahabatan yang menjangkau seluruh budaya dan benua", sembah PYT.

Mengakhiri ucapannya, PYT menzahirkan ucapan penghargaan Kehadapan Majlis Kebawah DYMM dan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri atas jemputan, serta sokongan dan kepimpinan yang dihulurkan.

PYT berdoa semoga hubungan persahabatan antara Republik Kosovo dan NBD akan bertambah kukuh pada tahun-tahun mendatang, yang dibina atas kepercayaan, dan matlamat yang sama serta saling hormat menghormati.

NBD dan Republik Kosovo mula menjalinkan hubungan diplomatik pada 20 Februari 2017.

Kebawah DYMM dan PYT telah mengadakan Majlis Perjumpaan Dua Hala buat pertama kalinya pada atur cara sampingan semasa Sidang Kemuncak Summit of the Future yang diadakan pada 23 September 2024 di New York, Amerika Syarikat.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto