Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
Memastikan sektor maklumat ASEAN berdaya tahan, dinamik, responsif
07/05/2025

 


Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri pagi tadi berkenan berangkat menghadiri Majlis Pembukaan Rasmi Persidangan Menteri-Menteri ASEAN yang Bertanggungjawab Ke atas Penerangan (AMRI) Ke-17 dan Mesyuarat-Mesyuarat yang Berkaitan bertempat di The Empire Brunei.

Semasa Majlis Pembukaan Rasmi tersebut, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah berkenan mengurniakan sabda yang menzahirkan sokongan kepada Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN pada tahun ini dengan tema 'Inclusivity and Sustainability' yang menunjukkan komitmen ASEAN untuk memastikan daya tahan dan kemakmuran serantau, serta mengukuhkan kerjasama dalam menghadapi cabaran global dan tekanan luar yang berterusan.

Menyentuh mengenai ASEAN Community Vision 2045 yang dijangka akan diluluskan semasa Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 pada bulan Mei tahun ini, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota seterusnya bersabda bahawa AMRI mempunyai peranan untuk menyampaikan visi tersebut kepada rakyat, menjadikannya bukan sekadar rangka kerja dasar, tetapi aspirasi bersama untuk semua.

Majlis dimulakan dengan sembah alu-aluan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof, selaku Pengerusi AMRI Ke-17 dan diikuti dengan ucapan daripada Timbalan Setiausaha Agung ASEAN bagi Komuniti Sosio-Budaya ASEAN (ASCC) selaku wakil Setiausaha Agung ASEAN, Tuan Yang Terutama San Lwin.

Tuan Yang Terutama San Lwin dalam ucapannya antara lain menyatakan sektor maklumat dan media sedang mengalami perubahan pesat.

Menurutnya, kemajuan teknologi, perubahan corak penggunaan media, serta persaingan untuk mendapatkan perhatian, telah mewujudkan pelbagai cabaran seperti lambakan maklumat, penyebaran maklumat salah dan palsu, serta penghakisan identiti budaya.

“Perbincangan yang telah berlangsung sepanjang mesyuarat SOMRI beberapa hari yang lalu, dan sesi perbincangan hari ini dalam kalangan Menteri-Menteri AMRI, akan menyediakan hala tuju serta strategi penting untuk memastikan sektor maklumat ASEAN terus berdaya tahan, dinamik, responsif dan berorientasikan rakyat, selaras dengan aspirasi kita menuju ke arah ASEAN sebagai Komuniti Peluang untuk Semua," terangnya.

Pada tahun ini katanya, usaha-usaha pembinaan Komuniti ASEAN akan diperkukuhkan lagi melalui Wawasan Komuniti ASEAN 2045, serta empat Pelan Strategik yang akan diterima pakai pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 pada 26 Mei 2025.

Tuan Yang Terutama menjelaskan kerjasama serantau dalam bidang maklumat dan media telah berkembang kukuh sepanjang tiga dekad sejak Mesyuarat Pertama Menteri-Menteri ASEAN yang Bertanggungjawab terhadap Maklumat (AMRI) pada tahun 1989.

Melangkah ke hadapan ujarnya, Pelan Kerja Baharu bagi Maklumat dan Media 2026-2035 serta Pelan Induk Komunikasi ASEAN Ketiga yang sedang dibangunkan, akan menjadi panduan utama kepada kerjasama kita.

Menurut Tuan Yang Terutama lagi, perkembangan dasar yang sedang berjalan kini akan mengukuhkan lagi pertukaran pandangan para Menteri AMRI hari ini berdasarkan tema 'MAJU - Media Memajukan Persefahaman Bersama: Mengubah Peranan Media dalam Memajukan Kerjasama dan Persefahaman di ASEAN'.

Hadir di majlis tersebut ialah Menteri-Menteri yang Bertanggungjawab Ke atas Penerangan daripada negara-negara anggota ASEAN, Republik Demokratik Timor-Leste, Republik Rakyat China dan Jepun.

Juga hadir, Timbalan-timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, serta Setiausaha-setiausaha Tetap di Jabatan Perdana Menteri; Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan; dan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi.

Majlis tersebut turut diserikan dengan beberapa persembahan kebudayaan yang mempamerkan kepelbagaian warisan seni dan budaya tempatan.

AMRI merupakan salah satu sektor di bawah Tunggak Komuniti Sosio-Budaya ASEAN, di mana Menteri-Menteri AMRI bersidang setiap dua tahun.

Persidangan AMRI didahului oleh Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan ASEAN yang Bertanggungjawab Ke atas Penerangan (SOMRI), dan termasuk mesyuarat-mesyuarat dengan Republik Rakyat China, Jepun dan Republik Korea sebagai Rakan Dialog Plus Three. Negara Brunei Darussalam akan menjadi Pengerusi AMRI dan SOMRI pada tahun 2025 hingga 2026.

Persidangan AMRI Ke-17 dan Mesyuarat-Mesyuarat yang Berkaitan berlangsung pada 4 hingga 9 Mei 2025 di The Empire Brunei.

Tema AMRI sepanjang kepengerusian Negara Brunei Darussalam ialah 'MAJU - Media Advancing Joint Understanding' di mana AMRI akan terus meningkatkan dan menegakkan ikatan perpaduan serantau yang sedia ada, dan menyelaraskan tujuan strategik AMRI dalam membimbing inisiatif-inisiatif sektor maklumat ke hadapan.

Tema persidangan turut memberi tumpuan kepada usaha memajukan kerjasama dalam menjangka masa depan media dan penyiaran ASEAN.

Pendekatan tersebut bertujuan untuk memastikan AMRI dapat bersedia secara kolektif dalam menyediakan bahan atau kandungan yang mampu menarik perhatian penonton pada masa akan datang, di samping melabur secara strategik dalam transformasi media jangka panjang.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto