Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat ke Majlis Persantapan Negara bagi meraikan Presiden Republik Indonesia, Tuan Yang Terutama Dato Laila Utama Probowo Subianto, serta rombongan yang mengadakan Lawatan Negara ke negara ini.
Berangkat sama, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah; dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna.
Majlis Persantapan Negara yang diadakan di Istana Nurul Iman itu dimulakan dengan bacaan Doa Selamat oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam juga berkenan mengurniakan titah, diikuti dengan ucapan balas daripada Tuan Yang Terutama Presiden Republik Indonesia.
Presiden Republik Indonesia, Tuan Yang Terutama Dato Laila Utama Probowo Subianto dalam ucapan balasnya menzahirkan penghargaan yang mendalam atas sambutan luar biasa yang diberikan kepada delegasi Republik Indonesia, serta penghormatan berterusan yang ditunjukkan terhadap negara dan rakyatnya.
Tuan Yang Terutama Presiden Republik Indonesia menyembahkan kunjungan kali ini setentunya sangat penting bagi kedua buah negara yang sudah dikenali sebagai negara satu rumpun, satu budaya, satu sejarah, satu bahasa, satu agama dan juga sebagai satu keluarga.
Justeru sebagai mandataris Presiden Republik Indonesia sembah Tuan Yang Terutama lagi, sangat berkomitmen untuk menjaga hubungan yang sudah baik ini untuk terus lebih baik hanya dengan kerjasama di antara kedua-dua buah negara dan sesama anggota ASEAN untuk saling melindungi antara satu sama lain di tengah ketidakpastian global dan tribunal.
Tuan Yang Terutama dalam sembahnya juga menzahirkan penghargaan mendalam Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ketika baginda berangkat hadir secara peribadi semasa pelantikan beliau sebagai Presiden Republik Indonesia, dan sentiasa berharap agar hubungan persahabatan ini sentiasa terjalin berkekalan dan bertambah kukuh.
Tuan Yang Terutama Dato Laila Utama Prabowo Subianto dilantik secara rasmi sebagai Presiden Republik Indonesia Ke-8 pada 20 Oktober 2024.
Sejak penubuhan hubungan diplomatik pada bulan Januari 1984, Negara Brunei Darussalam dan Republik Indonesia menikmati jalinan persahabatan dan hubungan kerjasama dua hala yang erat dan mesra dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pertahanan, pendidikan, kesihatan, buruh dan pertukaran rakyat.
Kedua negara juga bekerjasama rapat melalui kerjasama serantau dan antarabangsa termasuk ASEAN, APEC, OIC dan BIMP-EAGA.
Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto