Brunei DPMM FC tidak mensia-siakan aksi bermain di hadapan penyokong sendiri sekali gus memastikan tiga mata berharga berjaya diraih selepas menewaskan BG Tampines Rovers FC dalam saingan Liga Perdana Singapura (Singapore Premier League-SPL) musim 2024/2025, dengan keputusan 2 - 1.
Para pemain Brunei DPMM FC berjaya mempamerkan aksi bertenaga sepanjang 90 minit permainan pada perlawanan akhir beraksi di halaman sendiri bagi liga musim ini.
Berangkat menyaksikan perlawanan, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri.
Juga berangkat ialah adinda dan anakanda-anakanda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, iaitu Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik, Yang Teramat Mulia Pengiran Muda 'Abdul Muntaqim, Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah dan Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Faathimah Az-Zahraa' Raihaanul Bolkiah.
Pemain penyerang Brunei DPMM FC, Nazirrudin Ismail muncul wira setelah berjaya menjaringkan kedua-dua gol pada malam berkenaan, manakala gol tunggal bagi BG Tampines Rover FC dijaringkan oleh Seia Kunori.
Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Negara Hassanal Bolkiah berkenaan menyaksikan skuad Brunei DPMM FC, kendalian Ketua Jurulatih, Jamie McAllister terlebih dahulu memperoleh gol pembukaan seawal minit ke-6.
BG Tampines Rovers FC yang tersentak selepas ketinggalan 0 - 1 terus menyerang gawang Brunei DPMM FC dalam usaha memburu gol penyamaan sehingga berhasil mencipta jaringan pada minit ke-23 melalui Seia Kunori.
BG Tampines Rovers FC seterusnya kurang bernasib baik akibat kecuaian penjaga gawangnya, Syazwan Buhari yang memberi peluang berharga buat Nazirrudin Ismail dengan mudah menyumbat gol kedua bagi Brunei DPMM FC pada minit ke-33.
Bersambung di babak kedua, perlawanan semakin rancak apabila kedua-dua pasukan mula bertindak ganas dengan saling berbalas serangan.
Meskipun berkali-kali diasak, namun pujian harus diberikan kepada Haimie Nyaring, penjaga gawang Brunei DPMM FC yang beraksi cemerlang menyelamatkan beberapa percubaan daripada pemain penyerang pasukan pelawat.
Lima minit tinggal baki perlawanan, BG Tampines Rovers FC di bawah bimbingan Gavin Lee terus memberi asakan untuk sekurang-kurangnya menyamakan kedudukan namun pemain pertahanan Brunei DPMM FC terus menepis serangan-serangan berkenaan dan keputusan kekal 2 - 1 sehingga pengadil meniupkan wisel penamat.
Dengan kemenangan tersebut, Brunei DPMM FC kekal di tangga keenam liga dengan mengumpulkan 41 mata setelah 31 perlawanan.
Perlawanan terakhir Brunei DPMM FC bagi Liga Perdana Singapura musim ini adalah menentang Hougang United pada 24 Mei 2025 nanti di Town Square, Our Tampines Hub, Singapura.
Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto