Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
Berangkat menunaikan Sembahyang Sunat Aidiladha
07/06/2025

 


Suasana penuh syukur dan keinsafan menyelubungi bumi Darussalam apabila pujian takbir, tasbih dan tahmid kembali bergema, menandakan tibanya Hari Raya Aidiladha 1446 Hijrah.

Laungan tersebut menjadi simbol rasa kesyukuran umat Islam ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala atas limpahan rahmat dan nikmat-Nya.

Dalam sama-sama mensyukuri nikmat yang kita raikan ini, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) berkenan berangkat menyertai bersama para jemaah di Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong bagi menunaikan Sembahyang Sunat Hari Raya Aidiladha 1446 Hijrah.

Berangkat sama paduka adinda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik.

Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota dijunjung oleh Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris bin Pengiran Maharaja Lela Pengiran Muda Abdul Kahar; Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman; Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof; Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar; Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Awang Mohamad; Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Abdul Aziz Bin Juned; dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan.

Pada pagi tersebut, seruan Azan bagi menunaikan Sembahyang Sunat Hari Raya Aidiladha dilaungkan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong, Awang Ahmad Syafiq bin Haji Osman.

Diikuti dengan Sembahyang Sunat Hari Raya Aidiladha Berjemaah diimamkan oleh Ketua Hakim Syar'ie, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar.

Manakala, Khutbah Sunat Hari Raya Aidiladha dibacakan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Yang Arif Awang Haji Hassan bin Haji Metali.

Yang Arif Awang Haji Hassan dalam khutbah pertamanya menegaskan harta pusaka wajib dibahagikan mengikut hukum syarak, bukan hanya faraid mahkamah.

Beliau seterusnya menjelaskan terdapat dalam kalangan ahli waris yang membolot harta secara licik, termasuk menyalahgunakan amanah sebagai pentadbir, malah menggunakan harta tanpa kebenaran - terutama yang melibatkan anak yatim. Harta pusaka merangkumi semua peninggalan si mati, termasuk barang peribadi.

Tambahnya lagi, pembahagian seharusnya dilakukan secara adil dengan persetujuan semua ahli waris, mengikut prinsip syariah untuk mengelak penindasan, khususnya terhadap anak yatim.

Dalam khutbah keduanya, Yang Arif Awang Haji Hassan menjelaskan mengenai ibadah korban. Menurut mazhab Imam al-Syafie, hukum ibadah korban adalah sunnah muakkadah, terangnya.

Beliau kemudiannya menjelaskan binatang yang hendak dikorbankan itu hendaklah terdiri daripada unta, lembu, kambing, kibas dan biri-biri dengan syarat binatang yang hendak dikorbankan itu hendaklah selamat dari aib iaitu kecacatan menurut hukum syarak.

Beliau seterusnya menerangkan dengan adanya ibadah korban, ia menghidupkan semangat ukhuwah, kerjasama dan bantu-membantu antara satu sama lain.

Sembahyang Sunat Hari Raya Aidiladha diadakan secara serentak di masjid-masjid utama, surau dan balai ibadat di seluruh negara bermula pada pukul 7.30 pagi dengan kehadiran para jemaah yang turut sama menyemarakkan hari kebesaran Islam ini.

Hari Raya Aidiladha bukan sekadar sambutan bahkan mengangkat erti ketaatan, keikhlasan dan pengorbanan, sebagaimana dicontohkan oleh Nabi Ibrahim 'Alaihissalam dan Nabi Ismail 'Alaihissalam, menjadi inspirasi dalam kehidupan seharian umat Islam.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto