Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
Berangkat ke Majlis Perasmian Persidangan SEAMEO Ke-53
01/07/2025

 


Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri pagi tadi berkenan berangkat menghadiri Majlis Perasmian Persidangan Majlis Pertubuhan Menteri-menteri Pendidikan Asia Tenggara (SEAMEO) Kali Ke-53 bertempat di The Empire Brunei.

Terdahulu, keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dijunjung oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh; dan Setiausaha Pendidikan, Republik Filipina, Tuan Yang Terutama Juan Edgardo Sonny Angara yang juga selaku Presiden Majlis SEAMEO.

Majlis perasmian dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar.

Majlis kemudian diteruskan dengan sembah alu-aluan oleh Menteri Pendidikan yang antara lain merafakkan sembah setinggi-tinggi menjunjung kasih atas limpah kurnia perkenan Duli Yang Teramat Mulia berangkat ke Majlis Perasmian Persidangan SEAMEO Kali Ke-53 dan seterusnya berkenan mengurniakan sabda perasmian persidangan, melancarkan Pelan Pendidikan Hijau Kementerian Pendidikan serta berangkat untuk menyaksikan pameran.

Keberangkatan Duli Tuanku ke Persidangan ini sembah Yang Berhormat, amat bermakna dan mencerminkan tanda keprihatinan serta pemedulian yang sangat mendalam dan berterusan Duli Tuanku terhadap peranan Majlis SEAMEO dalam memperkukuh kerjasama serantau dalam penggubalan dasar pendidikan yang bersifat strategik.

"Bertemakan 'Greening Education for a Sustainable Southeast Asia: Empowering Change through Collective Action', mencerminkan aspirasi kita bersama untuk memupuk warganegara yang mementingkan alam sekitar dan membentuk berdaya tahan sistem pendidikan yang bertindak balas secara proaktif kepada global cabaran.

"Bersama-sama, marilah kita memupuk ekosistem pendidikan yang melindungi alam sekitar kita dan memastikan warisan yang mampan untuk generasi akan datang," sembah Yang Berhormat lagi.

DYTM seterusnya berkenan mengurniakan sabda dan seterusnya menyempurnakan perasmian Persidangan SEAMEO Ke-53 serta berkenan melancarkan Pelan Pendidikan Hijau Kementerian Pendidikan Negara Brunei Darussalam.

Majlis kemudiannya diikuti dengan pelancaran video dan ucapan alu-aluan daripada Setiausaha Pendidikan, Republik Filipina.

Dalam sembahnya, Tuan Yang Terutama mengongsikan pelancaran 7-7-7, iaitu inisiatif utama sebagai Presiden Majlis SEAMEO. Nama tersebut mencerminkan semangat kepimpinan kami, sejajar dengan tujuh bidang keutamaan SEAMEO dan diperkukuh oleh tujuh perkongsian strategik merentas sektor dan institusi.

Program tersebut sembah TYT lagi, menangani isu penting dan mendesak antaranya seperti penjagaan awal kanak-kanak, pendidikan guru, meneroka cara baharu pembelajaran daripada sokongan kesihatan mental kepada kelayakan mikro dan Kecerdasan Buatan (AI).

TYT turut menyembahkan Ulang Tahun Ke-60 SEAMEO dan Persidangan SEAMEO Ke-53 membuktikan komitmen bersama dalam transformasi pendidikan di seluruh rantau untuk generasi akan datang.

Majlis diteruskan dengan tayangan video Ulang Tahun Ke-60 SEAMEO dan persembahan koir lagu SEAMEO.

DYTM seterusnya berkenan menandatangani buku Lembaran Kenangan Pelan Pendidikan Hijau.

DYTM kemudiannya berkenan menerima mengadap menteri-menteri dan wakil dari 11 negara anggota serta Pengarah Sekretariat SEAMEO sebelum dijunjung untuk bergambar ramai.

Persidangan berlangsung selama tiga hari, iaitu bermula 1 hingga 3 Julai 2025 dan menghimpunkan delegasi dari 11 buah negara, yang terdiri daripada Menteri-menteri Pendidikan, ahli bersekutu, ahli bergabung, pegawai-pegawai kanan dalam bidang pendidikan, wakil-wakil dari pertubuhan-pertubuhan antarabangsa dan rakan strategik SEAMEO.​

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto