Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
Berangkat mengurniakan Anugerah CIPTA Duli Pengiran Muda Mahkota 2025
02/07/2025

 


Projek Novel Filter-Less Single-Source Extendable Switched-Capacitor Boost Multilevel Inverter Suitable for Renewable and Industrial Applications hasil oleh Dr. Law Kah Haw dan Awang Mohammad Asri bin Puasa diumumkan sebagai penerima The Crown Prince Special CIPTA Award 2025.

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr.) Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, Pro-Canselor Universiti Teknologi Brunei (UTB) berkenan menyempurnakan penyampaian hadiah tersebut kepada penerima iaitu wang tunai sebanyak BND8,000 berserta piala pada majlis yang berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.

Pada majlis itu, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr.) Haji Al-Muhtadee Billah selaku Penaung Anugerah CIPTA Duli Pengiran Muda Mahkota 2025 juga berkenan mengurniakan hadiah berupa wang tunai, piala dan sijil kepada semua peserta pertandingan iaitu Local Categories 1, 2 dan 3, Smart Junior Competition dan Kategori ASEAN.

Terdahulu, keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota dijunjung oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid; Naib Canselor UTB, Datin Paduka Profesor Dr. Dayang Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman serta Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Brunei LNG Sdn. Bhd., Adeleye Falade.

Sejurus keberangkatan tiba memasuki dewan, Lagu Kebangsaan 'Allah Peliharakan Sultan' dimainkan dan seterusnya bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti Doa Selamat dipimpin oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar.

Datin Paduka Profesor Dr. Dayang Hajah Zohrah yang juga selaku Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif dalam sembah alu-aluannya menyembahkan, sejak 20 tahun Anugerah CIPTA Duli Pengiran Muda Mahkota diadakan, CIPTA telah mencapai beberapa objektif seperti memberi inspirasi kepada belia dan orang ramai untuk membangunkan produk, proses atau teknologi kreatif yang sejajar dengan aspirasi negara dan ASEAN; merangsang aktiviti penyelidikan dan pembangunan di Negara Brunei Darussalam (NBD) dan memupuk hubungan kerjasama dalam NBD dan rantau ASEAN.

Menurutnya, matlamat keseluruhan telah berjaya direalisasikan, walau bagaimanapun penghasilan produk daripada Anugerah CIPTA Duli Pengiran Muda Mahkota belum mencapai tahap yang boleh dikomersialkan.

“Sehubungan itu, adalah tiba masanya untuk menyusun semula strategi Anugerah CIPTA Duli Pengiran Muda Mahkota agar mempunyai nilai yang lebih tinggi. Selain itu, objektif dan matlamat CIPTA juga perlu dirangka semula bagi mencapai penghasilan lebih banyak produk yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara," jelasnya.

Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif selanjutnya menjelaskan, tema bagi Anugerah CIPTA Duli Pengiran Muda Mahkota 2025 ialah 'Inovasi Hijau' atau 'Green Innovations' yang menekankan keperluan untuk memanfaatkan kreativiti individu dari pelbagai bidang dan kemajuan teknologi dalam menangani cabaran alam sekitar seperti perubahan iklim dan kehilangan biodiversiti.

Tema itu, tegasnya, menggalakkan pembangunan mampan yang menyokong pertumbuhan ekonomi serta kelestarian alam sekitar. Seiring dengan usaha negara untuk mencapai Wawasan Brunei 2035, inovasi berteraskan pembangunan mampan bukan sahaja dilihat sebagai satu peluang, malah merupakan tanggungjawab yang dikongsi bersama oleh semua lapisan masyarakat.

Tambahnya lagi, sebagai sebahagian daripada masyarakat antarabangsa, UTB memandang inovasi sebagai elemen penting dalam usaha menangani pelbagai isu global. Pertandingan CIPTA berfungsi sebagai platform untuk mengetengahkan idea-idea bernas yang mampu memberikan impak signifikan, bukan sahaja kepada NBD, malah di peringkat serantau dan antarabangsa.

“Sejak tahun 2015, pertandingan ini telah dibuka kepada penyertaan dari Rantau ASEAN, sekali gus menggalakkan kerjasama serantau dan pertukaran idea rentas sempadan. Anugerah CIPTA 2025 merupakan edisi keenam bagi penyertaan serantau, selaras dengan aspirasi UTB untuk menjadi sebahagian daripada gerakan inovasi global," katanya lagi.

Terdahulu, Datin Paduka Profesor Dr. Dayang Hajah Zohrah menyembahkan setinggi-tinggi menjunjung kasih di atas keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia ke Majlis Anugerah CIPTA Duli Pengiran Muda Mahkota 2025.

Keberangkatan DYTM itu bukan sahaja menyerikan majlis, malah menunjukkan keprihatinan DYTM terhadap perkembangan reka cipta dan inovasi dalam bidang sains, teknologi dan kejuruteraan pada masa ini.

Datin Paduka Profesor Dr. Dayang Hajah Zohrah juga berharap agar lebih banyak lagi penyertaan daripada pihak swasta dan orang ramai di masa hadapan dan selain itu juga memaklumkan bahawa tahun ini Anugerah Khas bagi Sustainable Energy diperkenalkan buat kali pertama untuk Pertandingan CIPTA Duli Pengiran Muda Mahkota 2025.

Pengenalan Anugerah Khas ini adalah satu langkah ke arah mengiktiraf dan mempromosikan inovasi dalam penghasilan tenaga, ataupun 'sustainable energy'. Ia memberi tumpuan kepada kelestarian dan potensi peningkatan kemajuan teknologi dalam penghasilan tenaga di NBD serta rantau ASEAN dan pada tahun ini, pingat emas, perak dan gangsa juga mula diperkenalkan.

Adapun Majlis Anugerah CIPTA Duli Pengiran Muda Mahkota adalah merupakan majlis ke-11 yang dianjurkan oleh UTB dan Syarikat Brunei LNG Sendirian Berhad sebagai rakan kongsi dan penaja utama sejak tahun 2011.

Majlis Anugerah CIPTA 2025 akan diteruskan dengan Seminar CIPTA selama dua hari bermula 3 Julai 2025, di mana para hakim, pemenang CIPTA, industri dan sektor yang berkepentingan akan membincangkan mengenai hala tuju, inovasi dan reka cipta.

Pihak penganjur merakamkan penghargaan setinggi-tingginya kepada Brunei LNG Sdn. Bhd. atas sokongan dan kerjasama yang berterusan selama ini. Komitmen mereka telah memainkan peranan penting dalam menjadikan Anugerah CIPTA sebagai sebuah platform cemerlang yang terus memberi inspirasi kepada minda-minda cemerlang di negara ini serta penghargaan kepada semua ahli jawatankuasa yang telah bekerja keras dalam mengungkayahkan pertandingan ini.

Selain itu, setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih juga kepada perwakilan ASEAN di NBD atas usaha mereka mempermudahkan penyertaan dari negara masing-masing serta kepada para juri yang telah meluangkan masa untuk menilai semua projek yang telah disenarai pendek.

Sebelum berangkat meninggalkan majlis, DYTM juga berkenan untuk berinteraksi bersama para pemenang pertandingan dan sekali gus berkenan menyaksikan ciptaan masing-masing.

Sumber berita Pelita 
Sumber foto InfoFoto