
Di Negara Brunei Darussalam (NBD), komitmen terhadap agenda keselamatan dan kesihatan pekerjaan terus diperkasa.
Melalui Autoriti Kebangsaan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHENA), kita telah mengambil langkah-langkah pembaharuan perundangan, termasuk Peraturan-peraturan Keselamatan dan Kesihatan Tempat Kerja (Kerja dari Tempat Tinggi) 2025 dan Pindaan kepada Peraturan-peraturan (Pegawai Keselamatan dan Kesihatan Tempat Kerja) 2025.
Perkara demikian dijelaskan oleh Setiausaha Tetap (Tenaga) di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Dayang Hajah Farida binti Dato Seri Paduka Haji Talib yang juga selaku Ahli Lembaga Pengarah SHENA semasa menyampaikan ucapan bagi mewakili Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof selaku Menteri yang bertanggungjawab ke atas SHENA.
“Kecerdasan Buatan (AI) kini digunakan untuk meramal risiko, memantau secara masa nyata, dan mempercepatkan pengesanan bahaya, daripada peranti pintar, dron, kepada sistem automasi.
“Contohnya : Abah-abah pintar yang memberi amaran awal sekiranya berlaku gelinciran; pemantauan keletihan dan tekanan kerja melalui alat boleh pakai; dan dron berkuasa AI yang meninjau kawasan berisiko tinggi tanpa memerlukan kehadiran fizikal pekerja," ujarnya pada Majlis Pelancaran Rasmi Persidangan Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja (WSHCON) 2025 berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, hari ini.
Menurutnya, inovasi seperti ini menjadikan tempat kerja bukan hanya lebih selamat tetapi lebih pintar dan responsif.
Namun jelasnya, kita mesti bersikap realistik dan berwaspada, jika AI tidak dikawal dengan baik, ia boleh membawa risiko baharu, baik dari segi fizikal mahupun dari segi psikologi.
Beliau menjelaskan lagi, pemantauan berlebihan juga boleh mewujudkan tekanan kepada pekerja dan kebimbangan tentang kehilangan pekerjaan akibat automasi bukanlah sekadar persepsi.
Kongsi beliau, didapati, di peringkat global, sebanyak 36 peratus pekerja menjangkakan ini akan berlaku manakala 57 peratus menjangkakan AI akan mengubah cara bekerja dan risiko ini adalah lebih nyata dalam kalangan ekonomi yang pesat membangun, termasuk negara-negara Thailand, Malaysia, Indonesia dan India.
Oleh itu, jelasnya lagi, penerimaan teknologi ini perlu dipandu oleh prinsip ketelusan, etika, pengawasan manusia dan perlindungan privasi. AI tidak dapat menggantikan kepimpinan moral, empati dan pertimbangan manusia.
“Teknologi boleh membina sistem. Tetapi manusialah yang membina budaya. Budaya keselamatan yang mampan tidak akan wujud tanpa komitmen yang lahir daripada hati, berpandukan nilai dan diperkukuh oleh pelaksanaan," ujarnya.
Beliau menambah, persidangan selama tiga hari ini adalah satu wadah yang amat penting dan ia bukan sahaja menjadi ruang untuk berkongsi ilmu, pengalaman dan amalan terbaik, malah turut membolehkan pembentukan jaringan kerjasama strategik antara pihak kerajaan, sektor industri, ahli akademik dan tenaga kerja.
Apa jua teknologi yang diperkenalkan tambahnya lagi, kejayaan pelaksanaannya bergantung kepada manusia yang menerajui serta budaya kerja yang ditanamkan.
Menurutnya, budaya keselamatan yang berdaya tahan memerlukan keterlibatan seluruh negara, termasuk pihak penggubal dasar, majikan, pekerja, pendidik dan masyarakat.
Beliau menambah, berteraskan nilai-nilai Maqasid Syariah, terutamanya dalam menjaga dan memelihara nyawa, kita berhasrat untuk mewujudkan tempat kerja yang selamat, sihat, inklusif dan berperikemanusiaan, seiring dengan visi negara ke arah masa depan yang lebih mampan.
Terdahulu, beliau menjelaskan, bertemakan 'Merevolusikan Kesihatan dan Keselamatan : Peranan AI dan Pendigitalan di Tempat Kerja', persidangan ini selari dengan gelombang Revolusi Perindustrian Ke-4 yang sedang merubah landskap pekerjaan serata dunia.
“Pendekatan konvensional sahaja tidak lagi mencukupi. Kita perlu menilai semula strategi, menyesuaikan dasar, dan memperkukuh tadbir urus agar kemajuan teknologi dapat diselaraskan dengan martabat dan kesejahteraan insan," ujarnya.
Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto