Seluruh rakyat jelata tidak melepaskan peluang untuk hadir seawal pagi tadi bagi sama-sama meraikan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-79, Tahun 2025 di ibu negara.
Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-79, Tahun 2025 diraikan dalam suasana gilang-gemilang bermula dengan Istiadat Barisan Kehormatan.
Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam disambut meriah dengan kibaran Bendera Negara Brunei Darussalam (NBD) daripada lebih kurang 6,000 penuntut sekolah serta pukulan hadrah seramai 500 penuntut yang mengiringi perarakan masuk baginda di sepanjang jalan menuju ke Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien.
Berangkat sama ke istiadat tersebut, paduka-paduka anakanda dan adinda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah; dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.
Keberangkatan tiba baginda dan kerabat diraja dijunjung oleh Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris bin Pengiran Maharaja Lela Pengiran Muda Abdul Kahar; Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman; Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan; dan Pesuruhjaya Polis, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), CP Dato Seri Pahlawan Sulaiman bin Alidin.
Sejurus keberangkatan tiba, Kebawah DYMM berkenan menerima Tabik Hormat Diraja diiringi lagu kebangsaan 'Allah Peliharakan Sultan' oleh gabungan Pasukan Pancaragam ABDB dan PPDB diikuti tembakan meriam sebanyak 21 das.
Baginda seterusnya berkenan berangkat memeriksa pasukan-pasukan perbarisan sejumlah 1,141 orang terdiri daripada anggota-anggota Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB); Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB); Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB); Gabungan Askar Wanita (GAW) ABDB; PPDB; Polis Wanita PPDB; serta jabatan-jabatan beruniform termasuk Jabatan Penjara; Jabatan Kastam dan Eksais Diraja; Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan; Jabatan Bomba dan Penyelamat; dan Pasukan Perkhidmatan Bomba Penerbangan Awam.
Juga menyertai perbarisan, pertubuhan-pertubuhan awam seperti Pasukan Kadet Tentera ABDB; Pasukan Kadet PPDB; Persatuan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam; Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam; Persatuan Pandu Puteri Brunei Darussalam; Pasukan Kadet Bomba dan Penyelamat dan Program Khidmat Bakti Negara.
Pada upacara istiadat tersebut juga menyaksikan pasukan-pasukan kawalan kehormatan serta pembawa Panji-Panji Kebawah DYMM, Panji-Panji Pasukan ABDB dan Panji-Panji Diraja PPDB berjalan lalu di depan Pentas Diraja dalam gerak perlahan dan cepat di bawah pimpinan Pemerintah Perbarisan, Leftenan Kolonel Faizal Azly bin Haji Rosli.
Kemuncak istiadat ialah laungan tiga kali 'Daulat Kebawah Duli Tuan Patik' yang disembahkan oleh kesemua pasukan yang mengambil bahagian, disusuli dengan Hormat Diraja dan terbang lalu dua buah pesawat C295MW dan tujuh buah helikopter Blackhawk, TUDB.
Juga hadir tetamu-tetamu peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia antaranya ialah Menteri Undang-Undang dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Kedua, Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Edwin Tong selaku wakil kerajaan Republik Singapura dan isteri, Madam Au Huey Ling.
Turut berangkat dan hadir ke istiadat berkenaan ialah Yang Amat Mulia Pengiran-pengiran Cheteria, Menteri-menteri Kabinet, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat, Timbalan-timbalan Menteri, Pengiran-pengiran Peranakan, Pehin-pehin Manteri, dan Manteri-manteri Pedalaman, para perwakilan asing ke negara ini dan pegawai-pegawai kanan kerajaan serta para jemputan, termasuk tetamu-tetamu khas baginda dari kalangan negara jiran dan sahabat.
Dengan berlangsungnya istiadat itu, maka bermulalah acara-acara keraian seperti Pentas Perayaan yang disusun sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Keputeraan Kebawah DYMM Ke-79 di keempat-empat daerah.
Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto