Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat ke Majlis Resepsi Pre-Parade yang dihoskan oleh Perdana Menteri Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Lawrence Wong dan isteri, Madam Loo Tze Lui dan Upacara Perbarisan Hari Kebangsaan Republik Singapura Ke-60 Tahun.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam mula-mula berangkat menghadiri Majlis Resepsi Pre-Parade yang diadakan di National Gallery Singapore, di mana keberangkatan tiba baginda dialu-alukan oleh Tuan Yang Terutama Perdana Menteri Republik Singapura dan isteri.
Selesai Majlis Resepsi tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan tetamu-tetamu khas kemudian beredar ke padang bagi menyaksikan Upacara Perbarisan Hari Kebangsaan Republik Singapura Ke-60 Tahun, yang menampilkan enam kontinjen kawalan kehormatan serta pelbagai segmen persembahan termasuk 'Jump of Unity', iaitu persembahan terjun payung bersama buat julung-julung kalinya oleh pasukan payung terjun Red Lions dan pasukan penyelam Angkatan Laut Republik Singapura.
Upacara turut diserikan dengan pertunjukan terbang lalu bendera negara, pertunjukan bunga api dan persembahan daripada artis tempatan.
Sambutan Hari Kebangsaan Republik Singapura pada tahun ini adalah bertemakan 'Majulah Singapura', yang mencerminkan semangat dan aspirasi Republik Singapura bersempena meraikan enam dekad kemerdekaan serta menyeru rakyatnya untuk menghargai pencapaian bersama; menghadapi cabaran masa depan dengan yakin dan tabah serta mendukung nilai kepercayaan, inklusiviti dan sokongan bersama demi kemajuan berterusan negara tersebut.
Tetamu-tetamu khas yang turut berangkat dan hadir ialah Presiden Republik Indonesia, Tuan Yang Terutama Prabowo Subianto; Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Sultan Johor dan Yang Amat Mulia Che' Puan Mahkota Khaleeda binti Bustamam; dan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Malaysia, Yang Amat Berhormat Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi selaku wakil Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia.
Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto