Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
Hafl Al-Takharruj UNISSA raikan 507 graduan
21/08/2025

 


Seramai 507 graduan Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) pagi tadi diraikan setelah berjaya menamatkan pengajian ijazah dan diploma pada Majlis Hafl Al-Takharruj Ke-15 UNISSA, bertempat di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, di sini.

Para graduan pada Hafl Al-Takharruj tahun ini terdiri daripada pelbagai program dan peringkat pengajian iaitu penerima Ijazah Doktor Falsafah, Ijazah Sarjana, Ijazah Sarjana Muda, Diploma Siswazah, Diploma Tertinggi Kebangsaan, Diploma Kebangsaan dan Ijazah Khas Hafazan 30 juzuk.

Berangkat mengurniakan ijazah dan diploma berkenaan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Canselor UNISSA.

Berangkat sama, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr.) Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, Pro-Canselor UNISSA.

Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dijunjung oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh, selaku Pengerusi Majlis UNISSA; dan Rektor UNISSA, Dato Seri Setia Dr. Haji Norarfan bin Haji Zainal.

Sejurus keberangkatan tiba, perarakan baginda didahului dengan Bentara menjunjung Mushaf UNISSA di hadapan perarakan berkenaan dan masuk diiringi dengan alunan selawat dan qasidah (dikir) 'Ahlan Bikum Sultanana' dan kemudiannya diikuti dengan nyanyian Lagu Kebangsaan 'Allah Peliharakan Sultan' sejurus selesai Perarakan Canselor.

Hafl Al-Takharruj disemarakkan dengan alunan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran iaitu Surah An-Nahl bermula ayat 10 hingga 13, dibacakan oleh graduan Ijazah Sarjana Muda Fiqh & Kehakiman, Fakulti Syariah, Awang Muhammad Aimanuddeen Syahir bin Haji Ibrahim.

Beliau memperoleh tempat ketiga dalam Pertandingan Tausyeh bagi dewasa dan belia masjid negara pada tahun 2022.

Manakala bacaan al-hadith pula disampaikan oleh graduan Ijazah Sarjana Muda Tafsir dan Hadith, Fakulti Usuluddin, Awang Abdul Mujib bin Awang Sh'minan.

Pada tahun 2022, beliau menjuarai pelbagai pertandingan termasuk Pertandingan Syarahan anjuran UNISSA dan Pertandingan Table Tennis, serta mendapat tempat ketiga pada Pertandingan Pidato Antarabangsa 2023.

Sementara inti sari ayat-ayat suci Al-Quran dan al-hadith dibacakan oleh graduan Ijazah Sarjana Undang-Undang dan Sarjana Muda Perundangan Syariah, Fakulti Undang-Undang Haji Hassanal Bolkiah, Awang Ahmad Zahid bin Borhanuddin.

Beliau memperolehi anugerah setiausaha agung terbaik dalam persatuan pelajar undang-undang Asia (ALSA) dan mendapat beberapa pingat dalam pertandingan taekwondo secara individu 'poomsae', antaranya pingat emas pada tahun 2023 di 2nd North Borneo Open Invitation Taekwondo Championship (Malaysia) dan di 3rd Korean Ambassador's Cup (Brunei) serta pingat perak di Sehan University Cup (South Korea).

Antara inti sari ayat-ayat Al-Quran yang dibacakan ialah mengenai sumber alam sebagai anugerah dan amanah di mana Allah menjadikan alam ini sebagai amanah kepada manusia.

Oleh itu, setiap sumber seperti air, tanah dan tumbuh-tumbuhan hendaklah dijaga dan digunakan dengan bijak. Dalam konteks AgriHalal, ini bermakna kita perlu mengelakkan pencemaran, pembaziran sumber serta mengamalkan pertanian yang mesra alam.

Seterusnya, ayat yang dibacakan juga memperingatkan manusia untuk sentiasa mensyukuri kepelbagaian hasil bumi iaitu tanaman dan haiwan merupakan rahmat Allah kepada manusia yang membolehkan penghasilan pelbagai produk makanan halal.

Bersyukur terhadap nikmat ini perlu diterjemahkan melalui pemeliharaan biodiversiti, penggunaan sumber tempatan serta inovasi dalam mempelbagaikan hasil pertanian dan makanan halal.

Kemudian, ayat yang dibacakan juga menyentuh mengenai keseimbangan ekosistem di mana pembangunan tidak sepatutnya mengorbankan alam sekitar.

Dalam industri AgriHalal, perlu ada keseimbangan antara keuntungan dan kelestarian.

Misalnya, membuka ladang atau kilang makanan harus dibuat tanpa merosakkan hutan, sungai atau habitat haiwan. Justeru, ini sesuai dengan prinsip Islam yang menolak kerosakan (fasad) di muka bumi.

Manakala inti sari al-hadith pula menyebutkan mengenai rezeki yang halal dan diberkati di dalam Islam yang sangat menitikberatkan hasil dan juga cara memperolehnya kerana rezeki yang halal membawa keberkatan dalam kehidupan.

Oleh itu, industri AgriHalal perlu memastikan seluruh rantaian pengeluaran produk patuh syariah dan bebas daripada unsur haram atau syubhah.

Pada majlis tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan mengurniakan titah dan seterusnya menyempurnakan pengurniaan ijazah dan diploma kepada para graduan.

Terdahulu, Rektor UNISSA telah menyembahkan sembah alu-aluan dan kemudiannya memaklumkan penerima-penerima Pingat dan Hadiah Buku Universiti serta para penyumbang sempena Hafl Al-Takharruj Ke-15.

Bagi memberkati majlis, Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

Hafl Al-Takharruj tahun ini menyaksikan 18 graduan menerima Ijazah Doktor Falsafah, 79 graduan menerima Ijazah Sarjana, 11 graduan menerima Diploma Siswazah, 343 graduan menerima Ijazah Sarjana Muda, 34 graduan menerima Diploma Tertinggi Kebangsaan.

Sementara bagi Program Diploma Kebangsaan, penerimanya adalah seramai 16 orang dan bagi Ijazah Khas Hafazan 30 juzuk akan menyaksikan seramai 6 orang penerima.

Pada tahun ini turut menyertai perbarisan ialah 30 graduan penerima ijazah daripada negara-negara di rantau Asia Tenggara termasuk Republik Arab Mesir, Nigeria, Afghanistan, Togo dan Palestin.

Pengijazahan yang berlangsung dalam suasana penuh istiadat dan meriah ini bukanlah hanya semata sebuah kegembiraan tetapi memberi makna besar untuk para graduan memahami pada merekalah terletak amanah untuk menyumbang bakti memajukan agama, bangsa serta negara tercinta.

UNISSA akan terus berperanan dalam menyediakan pendidikan tinggi Islam yang berkualiti dan penyelidikan berimpak tinggi yang menjadi pemangkin kepada pembangunan ummah dalam ekosistem mampan berteraskan Maqasid Syariah.

Ini adalah selaras dengan visi UNISSA iaitu untuk menjadi Institusi Pengajian Tinggi Islam global yang melahirkan Generasi Khayra Ummah.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto