Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
Keharmonian raja bersama rakyat, cerminkan hubungan erat, penuh makna
31/08/2025

 


Keharmonian dan keakraban yang wujud antara Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, bersama rakyat dan penduduk, jelas mencerminkan hubungan yang amat erat dan penuh makna.

Ia menjadi lambang kegemilangan serta kekuatan pemerintahan baginda yang sentiasa menaungi rakyat dengan kepimpinan yang bijaksana dan berwibawa.

Daerah Belait hari ini menjadi tumpuan segenap lapisan rakyat dan penduduk yang membanjiri Padang Bandaran sejak awal pagi lagi setia menanti keberangkatan tiba raja yang dikasihi bercemar duli bagi Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat dan Penduduk Daerah Belait sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-79 Tahun.

Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Helipad Jalan Maulana, Kuala Belait dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah DYMM Ke-79 bagi Tahun 2025; Yang Berhormat Pengerusi-pengerusi Bersama Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah DYMM Ke-79 serta Pemangku Pegawai Daerah Belait, Awang Haji Amirol Hafidzin bin Haji Muhammad.

Berangkat sama, paduka-paduka anakanda dan adinda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM); Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen; dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.

Lebih 2700 penuntut sekolah beratur di sepanjang tepi jalan raya sambil mengibarkan bendera-bendera kecil Negara Brunei Darussalam termasuk barisan murid-murid sekolah rendah yang memegang bunga manggar dan turut dimeriahkan dengan paluan hadrah bagi sama-sama mengalu-alukan keberangkatan Kebawah DYMM serta kerabat diraja.

Sejurus berangkat tiba di Pentas Diraja, Padang Bandaran, Jalan Sultan, Kuala Belait, Lagu Kebangsaan 'Allah Peliharakan Sultan' dinyanyikan.

Kebawah DYMM serta kerabat diraja kemudian dijunjung bagi menyaksikan Persembahan Khas bertemakan 'Raja dan Rakyat Berjiwa Satu' yang melibatkan pelajar-pelajar sekolah menengah, sekolah rendah, hadrah, koir, gulintangan, dan pancaragam Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB).

Ini kemudian diikuti dengan laungan 'Daulat Kebawah Duli Tuan Patik' sebanyak tiga kali.

Kebawah DYMM berserta kerabat diraja seterusnya dijunjung berangkat ke Pentas Persembahan Khas untuk sesi bergambar ramai bersama para peserta dan seterusnya dijunjung berangkat bagi Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat dan Penduduk Daerah Belait.

Pada majlis tersebut, Kebawah DYMM juga berkenan mengunjungi pameran-pameran serta berkenan menerima beberapa pesambah.

Majlis Ramah Mesra diisikan dengan lebih 40 petak yang antaranya terdiri daripada penyertaan dari tujuh mukim yang ada di Daerah Belait; Persatuan-persatuan Bukan Kerajaan (NGOs); Warga Emas; Pendidikan; syarikat-syarikat swasta; serta ABDB Batalion Ketiga, Lumut Kem dan Pasukan Royal Gurkha Riffle Seria.

Sejurus selesai, Kebawah DYMM berserta kerabat diraja seterusnya dijunjung berangkat bagi Majlis Santap di Dewan Santap.

Pada majlis berkenaan, Kebawah DYMM berkenan memotong Kek Hari Keputeraan baginda ke-79 tahun.

Bagi memberkati majlis, Doa Selamat dibacakan oleh Hakim Mahkamah Rendah Syari'ah Daerah Belait, Yang Arif Mohd. Shah bin Taip.

Sebelum berangkat meninggalkan Dewan Santap, Kebawah DYMM berserta kerabat diraja berkenan menerima junjung ziarah daripada Ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi dan jemputan-jemputan khas.

Rakyat dan penduduk Daerah Belait merafak sembah dan menzahirkan doa agar Allah Subhanahu Wata'ala melanjutkan usia dan sihat sejahtera buat Kebawah DYMM serta kekal karar memerintah negara dalam keadaan selamat sejahtera di bawah inayah Allah jua. Dirgahayu Kebawah Duli Tuan Patik.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto