Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
Berangkat mengepalai perarakan Sambutan Maulud Nabi Muhammad
06/09/2025




Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat mengepalai perarakan mengelilingi Bandar Seri Begawan bersempena dengan Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam Peringkat Negara Tahun 1447 Hijrah / 2025 Masihi di ibu negara, pagi tadi.

Berangkat sama, paduka-paduka anakanda dan adinda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, iaitu Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM); Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah; dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.

Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien dijunjung oleh Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris bin Pengiran Maharaja Lela Pengiran Muda Abdul Kahar, selaku Penasihat Bersama Jawatankuasa Tertinggi Majlis Sambutan Hari-hari Kebesaran Islam Peringkat Negara dan Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan Tahun 1447H; Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Majlis Sambutan Hari-hari Kebesaran Islam Peringkat Negara dan Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan Tahun 1447H; Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan Il, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof, selaku Penasihat Bersama Jawatankuasa Tertinggi Majlis Sambutan Hari-hari Kebesaran Islam Peringkat Negara dan Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan Tahun 1447H; Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar; Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman, selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD); Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Awang Mohamad, selaku Pengendali Bersama; Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan; dan Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid.

Atur cara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai dan bacaan Doa Selamat dipimpin oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

Acara diteruskan dengan sembah alu-aluan daripada Menteri Hal Ehwal Ugama yang antara lain menyembahkan bahawa Penasihat-penasihat dan semua peringkat Ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi dan Jawatankuasa Bertindak Sambutan Hari-hari Kebesaran Islam berserta dengan kepimpinan agensi-agensi kerajaan dan swasta yang mendampingi Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) mengendalikan bersama Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam tahun ini, iaitu Kementerian Kewangan dan Ekonomi (MOFE), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dan juga BIBD, menyembahkan sembah junjung kasih atas keberangkatan Kebawah DYMM menyerikan perhimpunan dan seterusnya berkenan mengepalai perarakan sebanyak 95 buah pasukan yang terdiri daripada pasukan-pasukan tidak bernombor, kementerian-kementerian, Institut Pengajian Tinggi (IPT), maktab, sekolah menengah, Majlis Perundingan Kampung, takmir masjid, persatuan-persatuan awam dan sektor swasta, yang jumlah keseluruhannya 5,557 orang.

"Sesungguhnya hamba-hamba Kebawah Duli Tuan Patik sekalian dalam Majlis Perhimpunan dan Perarakan Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam ini bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala bahawa Negara Brunei Darussalam (NBD), negara kita yang tercinta ini dapat meneruskan tradisi yang baik, tradisi menyambut Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam sebagai tanda kita bersyukur menjunjung tinggi kurnia Allah Subhanahu Wata'ala mentakdirkan majoriti rakyat dan penduduknya turun temurun mendapat hidayat Allah Subhanahu Wata'ala, berugama Islam dan mendaulatkannya menjadi ugama rasmi negara.

"Seterusnya kita sekalian bersyukur NBD diberkati Allah Subhanahu Wata'ala dengan kekal berpemerintahan beraja yang Islami, pemerintahan yang menyantuni rakyat, generasi demi generasi, memimpin ke arah kebajikan, berusaha mencapai kejayaan yang berkat dengan berkemajuan yang seimbang, demi dunia dan akhirat," sembah Yang Berhormat lagi.

Majlis diteruskan dengan persembahan Dikir Marhaban dan bacaan Sayyidul Istighfar yang dibawakan oleh gabungan pegawai dan kakitangan daripada KHEU, MOFE, KKBS, dan BIBD.

Sebaik sahaja sampai kepada 'Ya Habibi', tembakan meriam sebanyak 21 das dilepaskan.

Sebelum perarakan bermula, Ketua Hakim Syarie, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar, mengepalai bacaan Selawat yang menandakan perarakan dimulakan.

Pada tahun ini, seramai 5,557 peserta mengikuti perarakan, melibatkan 95 pasukan yang dibahagikan kepada lima kategori, iaitu Kategori Pasukan-pasukan Tidak Bernombor, Kategori Kementerian-kementerian, Kategori IPT / Maktab / Sekolah Arab / Sekolah Menengah / Sekolah Menengah Swasta, Kategori Kampung dan Masjid serta Kategori Persatuan dan Sektor Swasta.

Perhimpunan dan perarakan turut diadakan serentak di tiga buah daerah lain.

Bagi Daerah Belait, Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam Peringkat Negara Tahun 1447H diadakan di Padang Bandaran, Jalan Sultan, Kuala Belait yang dihadiri oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid.

Manakala di Daerah Tutong, sambutan seumpamanya diadakan di kawasan lapang Dewan Kemasyarakatan Daerah Tutong yang dihadiri oleh Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin.

Sementara di Daerah Temburong, Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam diadakan di perkarangan Kompleks Dewan Kemasyarakatan, Pekan Bangar yang dihadiri oleh Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto