Setiap 23 September, Negara Brunei Darussalam (NBD) menyambut Sambutan Hari Guru sebagai memperingati dan menghargai sumbangan jasa para pendidik di negara ini.
Sambutan berkenaan juga adalah sebagai usaha untuk memartabatkan profesion perguruan yang banyak menyumbang kepada pembangunan kapasiti tenaga manusia negara.
Pada tahun ini, tema Sambutan Hari Guru ialah 'Guru Pemangkin Pendidikan Lestari dan Inovasi'. Tahun ini juga, tema sambutan ditambah dengan subtema yang memfokuskan kepada 'Memperkasa Pendidik Menginspirasi Masa Depan Hijau'.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Hari Guru NBD Ke-35, Tahun 2025 yang diadakan pagi tadi di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, di sini.
Berangkat sama ialah paduka-paduka anakanda dan adinda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, iaitu Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah; dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.
Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman; dan Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh selaku Pengerusi Bersama Majlis serta Ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi Majlis Sambutan Hari Guru NBD Ke-35, Tahun 2025.
Atur cara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah khusus buat ayahanda Kebawah DYMM, Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien ibni Al-Marhum Sultan Muhammad Jamalul Alam dan guru-guru yang telah kembali ke rahmatullah dan diikuti dengan Doa Selamat yang dipimpin oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.
Majlis diteruskan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran, iaitu Surah Al-Baqarah, ayat 269; Surah Al-Mujadalah, ayat 11; Surah Al-A'raf, ayat 31; dan Surah Al-Ruum, ayat 41 hingga 42 oleh Pegawai Pendidikan Ugama, Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Awang Haji Md. Zul-Hafiz bin Haji Tengah; manakala inti sari ayat disampaikan oleh Penolong Pensyarah, Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam di Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Awang Muhammad Fuad bin Matahir.
Seterusnya sembah alu-aluan yang disampaikan oleh Menteri Pendidikan dan kemudian diikuti dengan titah Kebawah DYMM.
Sejurus itu, majlis diteruskan dengan tayangan klip video Hari Guru menampilkan komitmen, dedikasi dan kasih sayang para guru dalam membimbing pelajar. Meskipun berdepan pelbagai cabaran, sokongan serta bimbingan para guru terus menjadi sumber kekuatan sehingga membolehkan para pelajar berjaya menamatkan perjalanan pendidikan mereka, sejajar dengan aspirasi negara ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035.
Majlis juga turut diserikan dengan persembahan utama, iaitu nyanyian kompilasi lagu-lagu medley bertajuk 'Guru Oh Guru', 'Jasamu Guru' dan 'Terima Kasih Cikgu', diikuti dengan Lagu Hari Guru Ke-35 yang bertajuk 'Guru Pemangkin Pendidikan Lestari dan Inovasi'.
Persembahan berkenaan merupakan gabungan seramai 32 pelajar dari Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan, Sekolah Rendah Beribi Telanai dan Seri Mulia Sarjana School.
Seterusnya, Kebawah DYMM berkenan menyempurnakan pengurniaan Anugerah-anugerah Hari Guru Ke-35, Tahun 2025 kepada para penerima yang terdiri daripada seorang penerima Anugerah Pendidikan Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien (SHOAS) yang dianugerahkan kepada Dato Seri Setia Awang Haji Yusoff bin Haji Ismail; sementara empat penerima Anugerah Guru Berjasa dianugerahkan kepada Dato Paduka Haji Mohd. Daud bin Haji Mahmud, Dayang Hajah Norjum binti Haji Yusop, Dato Paduka Dr. Haji Omar bin Haji Khalid dan Dayang Hajah Mas Tuyah binti Abd. Ghani.
Kebawah DYMM juga berkenan menyempurnakan pengurniaan kepada sembilan penerima Anugerah Guru Cemerlang, dan 30 penerima Anugerah Penghargaan Hari Guru (Special Mention).
Sejurus selesai, Kebawah DYMM serta kerabat diraja dijunjung berangkat bagi sesi bergambar ramai bersama para penerima anugerah dan Ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari Guru NBD Ke-35, Tahun 2025.
Kebawah DYMM seterusnya dijunjung menyempurnakan pelancaran buku panduan bertajuk 'GenAI Guidance for Education' dan seterusnya berkenan menyaksikan pameran sempena Sambutan Hari Guru Ke-35, Tahun 2025 di ruang legar.
Sebelum berangkat meninggalkan majlis, Kebawah DYMM juga berkenan menerima junjung ziarah daripada guru-guru, pelajar-pelajar, siswa dan siswi daripada pelbagai peringkat pendidikan dan institusi serta peserta-peserta persembahan.
Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto