Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
Meningkatkan keterhubungan tenaga serantau, pertumbuhan ekonomi mampan
17/10/2025

 


Mesyuarat Menteri-menteri Tenaga ASEAN Ke-43 (AMEM) dan Mesyuarat-mesyuarat Yang Berkaitan Dengannya telah diadakan dengan menegaskan semula komitmen untuk memperkukuh lagi kerjasama tenaga serantau ASEAN, menangani cabaran bersama, serta mempercepatkan peralihan rantau berkenaan ke arah masa depan tenaga yang lebih selamat, mampan dan bersepadu.

Delegasi Negara Brunei Darussalam (NBD) ke mesyuarat berkenaan telah diketuai oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) and Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof.
Yang Berhormat, selaku Menteri Yang Bertanggungjawab bagi Hal Ehwal Tenaga, turut disertai oleh Setiausaha Tetap (Tenaga), di JPM, Dayang Hajah Farida binti Dato Seri Paduka Haji Talib, sebagai Ketua Pegawai Tenaga Kanan bagi NBD; serta pegawai-pegawai dari Jabatan Tenaga di JPM.

Mesyuarat selama dua hari bermula dari 16 hingga 17 Oktober 2025 dan telah berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, Malaysia, di bawah Pengerusi ASEAN, Malaysia bagi tahun 2025, dengan tema 'Powering ASEAN: Bridging Boundaries, Building Prosperity'.

Tema berkenaan melengkapi tema utama Pengerusi ASEAN, iaitu 'Inklusiviti dan Kelestarian', dan menekankan usaha memperkukuh ASEAN Power Grid (APG) bagi meningkatkan keterhubungan tenaga serantau dan pertumbuhan ekonomi mampan.

Perdana Menteri Malaysia, Yang Amat Berhormat Dato' Seri Anwar Ibrahim telah merasmikan majlis perasmian bersama AMEM Ke-43 dan Mesyuarat Berkaitan, serta Forum Perniagaan Tenaga ASEAN (AEBF) Ke-25.

Mesyuarat berkenaan menandakan satu pencapaian penting dalam kerjasama tenaga ASEAN dengan penandatanganan 'Enhanced Memorandum of Understanding on the ASEAN Power Grid (APG) dan ASEAN Framework Agreement on Petroleum Security (APSA)' yang baharu.

APG telah ditegaskan semula sebagai teras dalam mempromosi perdagangan kuasa serantau, meningkatkan keselamatan tenaga, dan mendukung integrasi tenaga boleh diperbaharui. Sementara itu, APSA yang baharu diiktiraf sebagai mekanisme penting untuk menjamin keselamatan bekalan minyak dan gas semasa gangguan bekalan, memperkukuh penyelarasan tindak balas kecemasan, dan meningkatkan daya tahan sistem tenaga serantau secara keseluruhan.

Selain itu, mesyuarat turut mengumumkan pelancaran 'ASEAN Power Grid Financing Initiative' (APGF), iaitu satu mekanisme serantau untuk menggerakkan pelaburan awam dan swasta dalam meningkatkan perdagangan elektrik rentas sempadan, kebolehpercayaan sistem, dan integrasi tenaga boleh diperbaharui.

Mesyuarat juga telah meluluskan Pelan Tindakan ASEAN untuk Kerjasama Tenaga (APAEC) 2026–2030, dengan tema, 'Advancing Regional Cooperation in Ensuring Energy Security and Accelerating Decarbonisation for a Just and Inclusive Energy Transition', yang akan menjadi pelan tindakan panduan untuk agenda tenaga ASEAN dalam tempoh lima tahun akan datang.

APAEC 2026 hingga 2030 diiktiraf sebagai pencapaian penting, menyelaraskan keutamaan tenaga ASEAN dengan Wawasan ASEAN 2045 dan Pelan Strategik Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) 2026 hingga 2030.

Ia menetapkan laluan yang jelas untuk memastikan keselamatan tenaga, memajukan kesalinghubungan serantau, meningkatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui, meningkatkan kecekapan tenaga dan menerima teknologi baharu muncul.

Mesyuarat juga menegaskan semula kepentingan mengukuhkan perkongsian dengan Rakan Dialog dan Organisasi Antarabangsa untuk menyokong peralihan tenaga ASEAN.  Mesyuarat mengalu-alukan inisiatif yang berterusan dan baharu di bawah pelbagai kerjasama dengan Rakan Dialog dan organisasi antarabangsa, yang bertujuan untuk menyokong pelaksanaan APAEC.

Di samping mesyuarat rasmi, Yang Berhormat juga mengadakan perbincangan bersama pemimpin-pemimpin tenaga ASEAN lain, termasuk bersama Timbalan Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Dato' Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof, merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Malaysia, selaku Pengerusi AMEM Ke-43, serta Menteri Petroleum dan Sumber Mineral Republik Demokratik Timor-Leste, Yang Berhormat Francisco Da Costa Monteiro.

Mesyuarat berkenaan turut meluluskan Kenyataan Media Bersama bagi Mesyuarat AMEM Ke-43, Mesyuarat Menteri-menteri Tenaga ASEAN+3 Ke-22, dan Mesyuarat Menteri-menteri Tenaga Sidang Kemuncak Asia Timur Ke-19.

Di samping AMEM Ke-43, NBD juga telah mengambil bahagian dalam beberapa sesi dialog berprofil tinggi, termasuk sesi bersama Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) dan Agensi Tenaga Boleh Diperbaharui Antarabangsa (IRENA) sebagai sebahagian daripada kerjasama berterusan ASEAN dengan rakan-rakan antarabangsa dalam menyokong usaha peralihan tenaga serantau.

Di samping Mesyuarat AMEM yang Ke-43, Yang Berhormat juga telah menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri bagi Asia Zero Emission Community (AZEC) yang Ke-3 yang diadakan pada sebelah petang 17 Oktober 2025 selepas 43rd AMEM.

AZEC merupakan inisiatif yang ditubuhkan oleh Kerajaan Jepun pada 2023 bagi mempromosi penyahkarbonan dan karbon neutraliti di antara rakan negara-negara yang ikut serta inisiatif tersebut, termasuk Australia, NBD, Kemboja, Republik Indonesia, Jepun, Republik Demokratik Rakyat Lao, Malaysia, Republik Filipina, Republik Singapura, Thailand dan Republik Sosialis Viet Nam.

Pada mesyuarat berkenaan, rakan negara-negara memperakui Kenyataan Bersama bagi Mesyuarat Menteri-menteri AZEC yang Ke-3, dan kenyataan berkenaan menekankan konsep 'one goal, various pathways' dalam segala usaha untuk menangani perubahan iklim, menggalakkan pertumbuhan ekonomi inklusif dan mencapai keselamatan tenaga selaras dengan persetujuan-persetujuan antarabangsa, yang mengiktiraf keadaan ekonomi, sosial dan sejarah unik bagi setiap negara-negara membangun. Perbincangan dalam mesyuarat berkenaan akan dimuktamadkan pada Mesyuarat Pemimpin AZEC.

Mesyuarat Menteri-menteri Tenaga ASEAN Ke-44 dijadualkan berlangsung pada 2026 di Republik Filipina.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto Infofoto