Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
Majlis Konvokesyen KUPU SB Ke-15 rai 225 graduan
16/10/2025

 


Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Canselor Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) berkenan berangkat menyempurnakan pengurniaan ijazah dan diploma kepada seramai 225 graduan bagi Program Ijazah Doktor Falsafah Perguruan Ugama, Sarjana Perguruan Ugama, Sarjana Muda Perguruan Ugama, Diploma Lanjutan dan Diploma pada Majlis Konvokesyen KUPU SB Ke-15, Tahun 1447 Hijrah / 2025 Masihi.

Majlis Konvokesyen KUPU SB yang berlangsung pagi tadi di Dewan Canselor Universiti Brunei Darussalam dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned dan diteruskan dengan bacaan Asmaul Husna beramai-ramai.

Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

Turut menjunjung keberangkatan tiba, Ra'es KUPU SB, Profesor Madya Dr. Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani dan Pemangku Pendaftar KUPU SB, Awang Adi Rani Soffian bin Abdul Rahman.

Perarakan keberangkatan Canselor KUPU SB didahului dengan pengusungan Mushaf Al-Quran yang dibawa masuk ke dalam dewan oleh Penulis Mushaf KUPU SB, Awang Mohd. Adi Yusnira bin Haji Johari.

Sejurus itu, Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam 'Allah Peliharakan Sultan' dinyanyikan beramai-ramai. Majlis kemudian diteruskan dengan alunan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran, Surah Al-Hujurat, ayat 4 hingga 7 beramai-ramai oleh para graduan Konvokesyen KUPU SB Ke-15.

Inti sari ayat dibacakan oleh graduan Program Sarjana Muda Perguruan Ugama (Pendidikan Bahasa Arab), graduan Program Doktor Falsafah Perguruan Ugama (Pendidikan Islam), Awang Abdul Wafi bin Haji Abdul Rahman manakala bacaan hadis pula disampaikan oleh graduan Program Sarjana Muda Perguruan Ugama (Pendidikan Bahasa Arab), Awang Mohammad Hadi Shahril bin Haji Mesli.

Majlis Konvokesyen KUPU SB diteruskan lagi dengan sembah alu-aluan oleh Ra'es KUPU SB, Profesor Madya Dr. Abdul Nasir. Pada majlis berkenaan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan mengurniakan titah.

Sejurus selepas itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan menyempurnakan pengurniaan ijazah kepada seramai 225 graduan mengikut bidang masing-masing iaitu seorang graduan dianugerahkan dengan Ijazah Doktor Falsafah Perguruan Ugama dalam bidang Pendidikan Islam dan 21 graduan menerima Ijazah Sarjana Perguruan Ugama dalam bidang Bahasa Arab, bidang Kajian Ahli Sunnah Waljama'ah, bidang Pendidikan Islam, bidang Sejarah dan Tamadun Islam, bidang Syariah dan juga bidang Usuluddin.

Seterusnya, seorang graduan dianugerahkan Diploma Perguruan Ugama Lepasan Ijazah (Bahasa Arab); 14 graduan dianugerahkan Diploma Perguruan Ugama Lepasan Ijazah manakala 30 graduan dianugerahkan Diploma Perguruan Ugama Lepasan Ijazah (Pendidikan Islam).

Selain itu, empat graduan menerima Ijazah Sarjana Muda Perguruan Ugama (Pendidikan Bahasa Arab) manakala 72 graduan menerima Ijazah Sarjana Muda Perguruan Ugama (Pendidikan Islam) dengan minor tertentu iaitu Minor Pengajian Al-Quran dan Al-Sunnah, Seni Al-Quran, Bimbingan dan Kaunseling, Dakwah dan Kepimpinan, Fiqh Ahli Sunnah Waljama'ah, Fiqh Ahwal Syahkhsiah, Inovasi dan Teknologi Pendidikan Islam, Keusahawanan dalam Pendidikan Islam, Kewangan Islam, Pendidikan Awal Kanak-kanak, Pendidikan Keluarga Islam, Pendidikan Khas dan Pendidikan Melayu Islam Beraja.

Manakala lima graduan dianugerahkan Diploma Tertinggi Perguruan Ugama (Pendidikan Bahasa Arab) dan 77 graduan dianugerahkan Diploma Tertinggi Perguruan Ugama (Pendidikan Islam). Bagi memberkati majlis, Doa Selamat dibacakan oleh Yang Berhormat Mufti Kerajaan.

Sejurus selepas itu, Kebawah DYMM seterusnya dijunjung penandatanganan Lembaran Kenangan dan seterusnya menyaksikan Pameran Mini.

Sebagai satu-satunya kolej universiti yang menawarkan program-program latihan dalam bidang Perguruan Ugama di Negara Brunei Darussalam, KUPU SB bertanggungjawab melahirkan pendidik dan pemimpin yang bertakwa, berwibawa, berakhlak mulia, berdaya saing, berpengetahuan, berfikiran terbuka, berkemahiran tinggi dan 'marketable'.

Perkara ini seiring dengan visi KUPU SB untuk menjadi institusi perguruan ugama yang unggul dalam melahirkan modal insan holistik yang memenuhi keperluan negara.

Dalam usaha untuk membangun generasi yang bukan sahaja siap siaga masa depan dan berkemahiran tinggi, tetapi juga memiliki sikap dan nilai yang meneguhkan identiti kebruneian dengan pandangan global, KUPU SB akan terus komited dalam membangun dan menyediakan pendidikan berkualiti yang saksama dan inklusif di semua peringkat, termasuk akses kepada pembelajaran sepanjang hayat, berpandukan Ahli Sunnah Waljamaah dan falsafah Melayu Islam Beraja.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto