Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
Berangkat menyaksikan perlawanan Liga Super Malaysia 2025 / 2026
10/01/2026

 


Pasukan tuan rumah, DPMM FC terpaksa akur apabila tumpas 2 - 5 kepada Selangor FC dalam aksi sengit pada Liga Super Malaysia Musim 2025 / 2026 yang berlangsung malam tadi, di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, di sini.

Berangkat menyaksikan perlawanan tersebut ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri.

Juga berangkat, paduka adinda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen berserta kerabat diraja.

Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota dan kerabat diraja dijunjung oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi Mohamad.

Pada separuh masa pertama menyaksikan Selangor FC mempamerkan aksi bertenaga sejak awal perlawanan dengan mendominasi permainan dan berjaya membuka jaringan seawal minit ke-5 melalui Chrigor Flores Moraes.

Selang lima minit kemudian, gawang DPMM FC sekali lagi digegarkan apabila Chrigor Flores Moraes menambah gol bagi Selangor FC menjadikan kedudukan 0 - 2 pada minit ke-10.

Pasukan DPMM FC terus membuat percubaan dan akhirnya berjaya menjaringkan gol pertama hasil sepakan Muhammad Hakeme Yazid Said pada minit ke-42, beberapa minit sebelum separuh masa pertama berakhir.

Bersambung pada babak kedua perlawanan, Selangor FC terus beraksi cemerlang apabila Laine Nooa Hamzah dan Chrigor Flores Moraes menghadiahkan gol ketiga dan keempat masing-masing pada minit ke-48 dan ke-58.

DPMM FC tidak berputus asa dan terus melancarkan serangan demi serangan dan akhirnya berjaya menyumbat gol kedua melalui Miguel Angelo Agostinho Oliveira pada minit ke-62.

Walaupun pasukan tuan rumah cuba bangkit dan mengatur beberapa serangan, namun, keampuhan jentera serangan Selangor FC terbukti sukar dibendung apabila mereka menambah jaringan kelima melalui Chrigor Flores Moraes pada masa tambahan iaitu minit ke-91.

Kedudukan 2 - 5 kekal hingga wisel penamat dibunyikan. Keputusan tersebut menyaksikan Selangor FC membawa pulang 3 mata berharga, sekali gus mengukuhkan kedudukan mereka dalam carta liga, manakala pasukan tuan rumah kekal di tangga ke-7.

Saingan DPMM FC di Liga Super Malaysia Musim 2025 / 2026 seterusnya ialah menentang Terengganu FC pada 13 Januari 2026 bertempat di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Terengganu.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto