Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
Berangkat ke Majlis Sambutan Israk dan Mikraj
17/01/2026

 


Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Israk dan Mikraj Peringkat Negara bagi Tahun 1447 Hijrah.

Majlis tersebut berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa, pagi tadi, di sini.

Berangkat sama ialah paduka-paduka adinda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik; dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen.

Keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota serta kerabat diraja dijunjung oleh Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris bin Pengiran Maharaja Lela Pengiran Muda Abdul Kahar; Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman, selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari-hari Kebesaran Islam Peringkat Negara Tahun 1447 Hijrah; Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof; Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar; Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd. Yusof serta ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi Sambutan yang lain.

Majlis sambutan Israk dan Mikraj tersebut dimulakan dengan bacaan ayat-ayat Suci Al-Quran, Surah Al-Isra', ayat 78 hingga 85 oleh Pegawai Pelajaran Tarannum, Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Awang Ahmad Zulwaqar bin Haji Suhaili, manakala Tadabbur pula disampaikan oleh Setiausaha Pertama, Jabatan Pentadbiran, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri (KHELN), Awang Haji Abdul Rashid bin Awang Haji Damit.

Sejurus selepas itu diikuti dengan sembah alu-aluan Kehadapan Majlis Duli Yang Teramat Mulia yang disampaikan oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama.

Dalam sembah alu-aluannya, Yang Berhormat antara lain menyembahkan bahawa sambutan yang dianjurkan berkenaan adalah bertemakan Sembahyang Teras Modal Insan Cemerlang.

Ia, jelas Yang Berhormat, juga selaras dengan signifikan peristiwa bersejarah Nabi Muhammad junjungan kita Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam diisrakkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala sebagaimana disebutkan dalam firman-Nya, ayat pertama Surah Al-Isra', kemudian dari Masjid El-Aqsa baginda dimekrajkan sampai ke Sidratul Muntaha.

“Maka dengan itu penganjuran sambutan dan peringatan adalah merupakan ruang yang luas untuk meraih pengajaran dan memanfaatkannya bagi menambahkan pengetahuan dan kefahaman dalam mengamalkan ajaran-ajaran Islam. Terutama sekali dalam konteks dasar dan program kerajaan seperti usaha yang berterusan untuk melahirkan modal insan yang berkualiti, yang cemerlang melalui pendidikan dan sebagainya.

“Maka ibadat sembahyang yang merupakan perbuatan untuk dilaksanakan dengan sempurna adalah pendidikan atau latihan untuk seseorang bekerja, berusaha dengan rajin dan tekun," sembah Yang Berhormat lagi.

Dalam ajaran Islam, hal yang sedemikian itu sembah Yang Berhormat, dihubungkan dengan nilai atau mutu seseorang yang dikasihi oleh Allah Subhanahu Wata'ala dan mendapat kasih sayang-Nya, iaitu sebagaimana disabdakan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, hadis Riwayat Tabrani serta Surah An-Najm ayat 13 hingga 18.

Sembah Yang Berhormat, dengan demikian hadis Baginda itu adalah merujuk juga kepada melahirkan modal insan yang berjaya dengan cemerlang menerusi rajin dan tekun mengerjakan suruhan dan melaksanakannya dengan sempurna iaitu melalui amal ibadat sembahyang yang dilaksanakan dengan sempurna.

Yang Berhormat seterusnya menyembahkan dalam konteks orang yang berjaya pula sembahyang itu juga jadi ukuran nilai atau mutu bagi menentukan seseorang itu orang yang akan berjaya dan sedang beroleh kejayaan cemerlang.

Yang Berhormat juga menyentuh, firman Allah Subhanahu Wata'ala, di awal Surah Al-Mu'minun jelas sekali menyebutkan sebagaimana tafsirnya: “Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman. (Iaitu) orang-orang yang khusyuk dalam sembahyang mereka".

Sejurus selepas itu, Duli Yang Teramat Mulia berkenan mengurniakan sabda.

Majlis diteruskan dengan persembahan Selawat Badriyyah oleh gabungan pegawai dan kakitangan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), KHELN, Kementerian Kesihatan dan Progresif Sdn. Bhd. diikuti dengan persembahan khas iaitu Kalam Jama'ie oleh pelajar-pelajar Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Rimba.

Kemudian, ini diikuti dengan ceramah khas bertajuk 'Sembahyang Teras Modal Insan Cemerlang' disampaikan oleh penceramah undangan dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dato' Dr. Haji Mohd. Izhar Ariff bin Mohd. Kashim.

Bagi memberkati majlis, Doa Selamat dibacakan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Awang Haji Salim bin Haji Besar.

Tema Majlis Sambutan Israk dan Mikraj Peringkat Negara Tahun 1447 Hijrah ialah 'Sembahyang Teras Modal Insan Cemerlang' dan dikendalikan bersama oleh KHEU, KHELN, Kementerian Kesihatan dan Progresif Sdn. Bhd.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto