Majlis Sembahyang Sunat Hajat, Bacaan Surah Yaa Siin, dan Doa Khas bagi kesihatan dan kesejahteraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam terus diadakan malam tadi di Istana Nurul Iman sebagai kesinambungan kepada Majlis Sembahyang Sunat Hajat, Bacaan Surah Yaa Siin, dan Doa Khas yang diadakan pada malam Khamis, 15 Januari 2026 di seluruh negara.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam akan menjalani rawatan kesihatan yang telah dirancang awal pada Ahad, 28 Rejab 1447 bersamaan 18 Januari 2026.
Berangkat ke majlis tersebut ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman serta ahli-ahli kerabat diraja.
Keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah berserta ahli-ahli kerabat diraja dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman; Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof; dan Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar, serta isteri masing-masing.
Juga yang hadir ialah Menteri-menteri Kabinet, Timbalan-timbalan Menteri, Setiausaha-setiausaha Tetap, dan Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap serta isteri masing-masing.
Majlis dimulakan dengan Sembahyang Fardu Maghrib Berjemaah serta Sembahyang Sunat Hajat yang diimamkan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Awang Haji Salim bin Haji Besar, diikuti dengan membaca Surah Yaa Siin dan seterusnya bacaan Doa Khas bagi mendoakan kesembuhan yang segera, kesihatan dan keafiatan yang sempurna lagi berpanjangan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk meneruskan kepimpinan baginda yang berwibawa dan bijaksana bagi keamanan dan keselamatan negara serta kesejahteraan rakyat.
Azan Isyak dikumandangkan oleh Pegawai Masjid, Masjid Omar Ali Saifuddien, Begawan Mudim Awang Haji Amran bin Haji Mohd. Salleh.
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota serta kerabat diraja berkenan menunaikan Sembahyang Fardu Isyak Berjemaah yang diimamkan oleh Pegawai Masjid, Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Mustafa bin Haji Murat sebelum berangkat meninggalkan majlis.
Majlis Sembahyang Sunat Hajat, Bacaan Surah Yaa Siin, dan Doa Khas tersebut diadakan untuk mendoakan agar prosedur rawatan baginda berjalan dengan lancar dan seterusnya berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala bagi mengurniakan kesembuhan yang segera, kesihatan yang sempurna, dan keafiatan yang berpanjangan Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto