Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM 2022

Berita
Keindahan Istiadat Berbedak serikan Majlis Mempelai Diraja
11/01/2023

‚Äčhm_110123.jpg

Majlis Istiadat Berbedak Pengantin Diraja di antara Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri 'Azemah Ni'matul Bolkiah binti Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah dengan Yang Amat Mulia Pengiran Muda Bahar ibni Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah berlangsung di Balai Singgahsana Indera Buana, Istana Nurul Iman. 

Majlis diadakan dengan penuh adat-istiadat diraja dengan menyaksikan kecantikan dan ketampanan pasangan mempelai diraja diculiki dengan Bedak Diraja secara berasingan. 

Berangkat ke Majlis Istiadat berbedak yang penuh gilang gemilang berkenaan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam. 

Pada majlis istiadat berkenaan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri berkenan menculiki Bedak Diraja kepada paduka anakanda Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri 'Azemah Ni'matul Bolkiah binti Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah dan Yang Amat Mulia Pengiran Muda Bahar ibni Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah. 

Juga berangkat menculiki Bedak Diraja, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah bersama Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik bersama Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Raabi'atul 'Adawiyyah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen dan diiringi oleh Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah dan Yang Mulia Datin Paduka Seri Hajah Mariam binti Haji Abd. Aziz. 

Juga menculiki Bedak Diraja ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah bersama Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Hajah Zariah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah bersama Yang Amat Mulia Pengiran Bini Hajah Faizah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa'adatul Bolkiah bersama Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Majeedah Nuurul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah bersama Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna bersama Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Amal Umi Kalthum Al-Islam. 

Istiadat menculiki Bedak Diraja juga termasuk ayahanda dan bonda Pengantin Diraja Lelaki, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Norhayati. 

Terdahulu, majlis dimulakan dengan Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Awang Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Awang Mohd. Yusof menjunjung anugeraha untuk menyembahkan kepada Yang Amat Mulia Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris bin Pengiran Maharaja Lela Pengiran Muda Abdul Kahar bahawa Majlis Istiadat Menjunjung Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri 'Azemah Ni'matul Bolkiah telah siap sedia. 

Kemudian menyembahkan ke hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam. 

Kebawah Duli Yang Maha Mulia kemudian menitahkan Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Hajah Zariah; dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna bagi menjunjung Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri 'Azemah Ni'matul Bolkiah berangkat ke Balai Singgahsana Indera Buana. 

Keberangkatan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri 'Azemah Ni'matul Bolkiah diapit oleh Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Hajah Zariah; dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna dengan didahului 40 Sinipit yang dibawa oleh Awang-awang, diikuti oleh Yang Mulia Juru Bini Dayang Hajah Rokiah dan dua orang Hulubalang, Hulubalang Diraja membawa Pemuras dan Karga dan Hulubalang Asgar membawa Kelasak dan Kampilan, sebatang Dian Tunggal dibawa oleh Dayang-dayang dengan diiringi Yang Dimuliakan Pehin Jawatan Bini Datin Paduka Dayang Hajah Siti serta diikuti oleh Perhiasan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri 'Azemah Ni'matul Bolkiah yang dibawa oleh tiga orang Dayang-dayang, seorang membawa Payung, seorang membawa Kaskol dan seorang membawa Kain Pendukungan, Isteri-isteri Pembesar Negara yang dititahkan, tujuh orang Pahawai Perempuan yang memegang satu Puan, satu Tarian, satu Kabok dan Panastan, satu Kiap, satu Chupu, satu Pasigupan dan satu Kaskol dan Dian 16 yang dibawa oleh 16 Dayang-dayang serta Alat-alat Kebesaran Diraja terdiri daripada 16 Pedang dan Perisai, 16 Tumbak Bendarangan dan lapan Kabok dan Panastan yang dibawa oleh Awang-awang. 

Majlis Istiadat Berbedak Pengantin Diraja dimulakan dengan Dikir Marhaban. 

Sebaik sahaja Dikir dilaungkan 'Ya Habibi', Kebawah DYMM dan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri menculiki Bedak Diraja ke atas kedua-dua tapak tangan paduka anakanda baginda yang diikuti dengan tembakan meriam sebanyak 17 das sebagai tanda bermulanya Istiadat Berbedak Pengantin Diraja. 

Setelah selesai Istiadat Berbedak Pengantin Diraja bagi Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri 'Azemah Ni'matul Bolkiah, Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned. 

Majlis Istiadat Berbedak Pengantin Diraja diteruskan lagi bagi Pengantin Diraja Lelaki, Yang Amat Mulia Pengiran Muda Bahar. 

Ketibaan Pengantin Diraja Lelaki ke dalam majlis berkenaan diapit oleh Yang Amat Mulia Pengiran Muda Abdul Hakeem dengan didahului oleh 12 Sinipit yang dibawa oleh Awang-awang, sebatang Dian Tunggal dibawa oleh Awang-awang dengan diiringi oleh Yang Dimuliakan Pehin Penyurat Awang Maidin dan Yang Dimuliakan Pehin Penyurat Haji Awang Osman diikuti oleh Pengiring-pengiring yang ditentukan, tujuh orang Pahawai Lelaki yang memegang satu Puan, satu Tarian, satu Kabok dan Panastan, satu Kiap, satu Chupu, satu Pasigupan dan satu Kaskol dan Dian 16 dibawa oleh 16 Awang-awang serta Alat-alat Kebesaran Diraja yang terdiri daripada enam Pedang dan Perisai, enam Tumbak Bendarangan dan empat Kabok dan Panastan yang dibawa oleh Awang-awang. 

Istiadat Berbedak Pengantin Diraja didahului dengan Dikir Syarafil Anam (Dikir Marhaban), dengan Kebawah DYMM dan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri menculiki Bedak Diraja kepada Yang Amat Mulia Pengiran Muda Bahar. 

Istiadat berkenaan diakhiri dengan bacaan Doa Selamat oleh Yang Berhormat Mufti Kerajaan. 

Istiadat Berbedak Pengantin Diraja berkenaan mempamerkan keindahan Istiadat Diraja yang diwarisi sejak turun-temurun yang menjunjung tinggi adat dan adab yang murni lagi luhur di Negara Brunei Darussalam. Majlis yang beradat istiadat berkenaan juga turut disiarkan secara langsung melalui siaran televisyen dan radio. 

Di samping itu, rakyat dan penduduk negara ini juga berkongsi kegembiraan dan merafakkan doa agar Pengantin Diraja selamat sejahtera dan memperoleh kebahagiaan.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto