Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM 2022

Berita
Bersanding berseri mempelai diraja di singgahsana
15/01/2023
hm_150123.jpg 

Majlis Istiadat Bersanding Pengantin Diraja di antara Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri 'Azemah Ni'matul Bolkiah binti Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah dengan Yang Amat Mulia Pengiran Muda Bahar ibni Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah, di Balai Singgahsana Indera Buana, Istana Nurul Iman, mempamerkan keunikan dan kekayaan tatasusila serta adat istiadat diraja Brunei yang diamalkan sejak zaman-berzaman. 

Majlis istiadat tersebut dihiasi Dian Alam Bernaga dan Dian Empat serta empat Dian Bunga, yang diletakkan di kiri kanan pintu Balai Singgahsana Indera Buana, termasuk Nasi Tumpang Pengantin Diraja Perempuan dan Nasi Tumpang Pengantin Diraja Lelaki yang sedia diletakkan di tempat yang ditentukan. 

Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam, didahului oleh Penglima Diraja yang membawa Pemuras serta Karga, dan Penglima Asgar yang membawa Kelasak dan Kampilan serta diiringi oleh Pembawa-pembawa Alat-alat Perhiasan Tunggal. 

Sementara itu, keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Raabi'atul Adawiyyah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Wakeel; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah dan Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Hajah Zariah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah dan Yang Amat Mulia Pengiran Bini Hajah Faizah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Norhayati; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa'adatul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Muta-Wakkilah Hayatul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Majeedah Nuurul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Amal Umi Kalthum Al-Islam; dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Amal Nasibah, diiringi oleh Pembawa-pembawa Alat-alat Perhiasan Empat Duli Yang Teramat Mulia-Duli Yang Teramat Mulia dan Perhiasan Pengiran Anak Isteri, Perhiasan Empat Duli-duli Wazir dan Perhiasan Pengiran Anak Isteri serta Perhiasan Pengiran Anak Puteri. 

Berangkat sama ke majlis berkenaan, cucunda-cucunda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam. 

Juga berangkat, ahli-ahli kerabat diraja dari negeri-negeri Pahang dan Johor. 

Majlis Istiadat Bersanding Pengantin Diraja dimulakan dengan empat Awang-awang masuk ke dalam majlis untuk menunu Dian Empat, diikuti dengan Kasur Namat, yang dibawa masuk ke dalam majlis dan diletakkan di tengah-tengah Dian Empat oleh dua Awang-awang dengan penuh adat serta tertibnya. 

Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Awang Adanan seterusnya menjunjung anugeraha untuk menyembahkan kepada Yang Amat Mulia Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris, bahawa Istiadat Menjunjung Pengantin Diraja Perempuan telah siap sedia. 

Yang Amat Mulia Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib kemudian menyembahkan untuk menjunjung titah ke hadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia bagi Istiadat Menjunjung Pengantin Diraja Perempuan. 

Kebawah Duli Yang Maha Mulia setelah itu menitahkan Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Hajah Zariah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Isteri Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham, Isteri Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew, Isteri Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja, Isteri Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Shahbandar, Isteri Yang Amat Mulia Pengiran Sanggamara Diraja, Isteri Yang Amat Mulia Pengiran Kerma Raja, Isteri Yang Amat Mulia Pengiran Ratna Wijaya dan Isteri Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Maharaja Diraja menjunjung YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri 'Azemah Ni'matul Bolkiah berangkat ke Balai Singgahsana Indera Buana. 

YTM Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Hajah Zariah; dan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna berangkat ke tempat Pengangunan Pengantin Diraja untuk menjunjung Pengantin Diraja Perempuan, diiringi oleh Isteri-isteri Pembesar Negara yang dititahkan. 

Pengantin Diraja Perempuan berangkat penuh berseri ke Balai Singgahsana Indera Buana dengan diapit oleh YTM Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Hajah Zariah; dan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, 40 Sinipit yang dibawa oleh Awang-awang, diikuti oleh Yang Mulia Juru Bini Dayang Hajah Rokiah dan dua Hulubalang, iaitu Hulubalang Diraja membawa Pemuras dan Karga, serta Hulubalang Asgar membawa Kelasak dan Kampilan. 

Sebatang Dian Tunggal dibawa oleh Dayang-dayang berjalan penuh tertib dan sopan di hadapan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri 'Azemah Ni'matul Bolkiah, diiringi oleh Yang Dimuliakan Pehin Jawatan Bini Datin Paduka Dayang Hajah Siti dan diikuti oleh Perhiasan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri 'Azemah Ni'matul Bolkiah, yang dibawa oleh tiga orang Dayang-dayang, iaitu seorang membawa Payung, seorang membawa Kaskol dan seorang membawa Kain Pendukungan. 

Isteri-isteri Pembesar Negara yang dititahkan juga mengiringi YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri 'Azemah Ni'matul Bolkiah, seorang Pengiran Perempuan Berbaju Gadong, diikuti oleh seorang Dayang-dayang yang membawa Kaskol Langguai, tujuh Pahawai Perempuan, masing-masing memegang satu Puan, satu Tarian, satu Kabok dan Panastan, satu Kiap, satu Chupu, satu Pasigupan dan satu Kaskol, manakala Dian 16 yang dibawa oleh 16 Dayang-dayang serta Alat-alat Kebesaran Diraja, yang terdiri daripada 16 Pedang dan Perisai, 16 Tumbak Bendarangan; dan lapan Kabok dan Panastan, yang dibawa oleh Awang-awang. 

Sementara itu, 40 Sinipit, yang dibawa oleh Awang-awang berjalan di hadapan Rombongan Pengantin Diraja Perempuan dan kemudiannya beratur di kiri kanan berdekatan dengan pintu masuk Balai Singgahsana Indera Buana. 

Hulubalang Diraja dan Hulubalang Asgar bersama Juru Bini menunggu di hadapan pintu Balai Singgahsana Indera Buana. 

YTM Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Hajah Zariah; dan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna terus mengiring Pengantin Diraja Perempuan hingga ke tempat duduk yang dikhaskan. 

Pembawa Dian Tunggal, Pengiran Perempuan Berbaju Gadong dan Dayang-dayang yang membawa Kaskol Langguai, Pahawai 7 dan Dayang-dayang yang membawa Dian 16 duduk sebaik sahaja Pengantin Diraja duduk di tempat yang dikhaskan, manakala Alat-alat Kebesaran Diraja yang dibawa oleh Awang-awang, iaitu 16 Pedang dan Perisai, 16 Tumbak Bendarangan serta lapan Kabok dan Panastan berdiri di kiri kanan majlis. 

Yang Amat Mulia Pengiran Maharaja Setia Laila Diraja Sahibul Irshad Pengiran Anak Haji Abdul Rahim; dan Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned seterusnya menjunjung anugeraha keluar dari majlis. 

Yang Amat Mulia Pengiran Maharaja Setia Laila Diraja Sahibul Irshad berangkat ke pintu luar sebelum masuk ke pintu Balai Singgahsana Indera Buana untuk mengalu-alukan rombongan Pengantin Diraja Lelaki. Manakala Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja menunggu di pintu Balai Singgahsana Indera Buana. 

Sementara itu, Pengiran Peranakan yang ditentukan bersama seorang lagi Pengiran Peranakan yang membawa gangsa yang berisi Kiap, Kiri yang berisi air dan Batil yang berisi Ganggang Sireh dan Bunga Rampai yang disimpan di dalam gangsa kecil bersama-sama sedia menunggu di pintu masuk luar Dewan Resepsi sebelum masuk ke Balai Singgahsana Indera Buana. 

Yang Amat Mulia Pengiran Muda Bahar kemudian berangkat ke pintu masuk luar Dewan Resepsi dituntun oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim, didahului oleh 12 Sinipit yang dibawa oleh Awang-awang, diikuti empat Dian Bunga dan Dian Tunggal yang dibawa oleh Awang-awang berjalan di hadapan Yang Amat Mulia Pengiran Muda Bahar serta diiringi dua Kanak-kanak Pahawai Lelaki, iaitu seorang memegang Kiap dan seorang memegang Pasigupan, serta Yang Dimuliakan Pehin Penyurat Awang Maidin dan Yang Dimuliakan Pehin Penyurat Haji Awang Osman, diikuti oleh seorang Pembawa Payung, Pengiran Perempuan Berbaju Gadong dan seorang Dayang-dayang yang membawa Kaskol Langguai, tujuh Pahawai Lelaki, masing-masing memegang satu Puan, satu Tarian, satu Kabok dan Panastan, satu Kiap, satu Chupu, satu Pasigupan dan satu Kaskol, Dian 16 yang dibawa oleh 16 Awang-awang dan Alat-alat Kebesaran Diraja yang terdiri daripada enam Pedang dan Perisai, enam Tumbak Bendarangan serta empat Kabok dan Panastan, yang dibawa oleh Awang-awang. 

Setiba Pengantin Diraja Lelaki di pintu luar Dewan Resepsi, Pengantin Diraja ditaburi dengan Bunga Rampai dan kaki Pengantin Diraja Lelaki dijirus dengan air oleh Pengiran Peranakan. 

Pengantin Diraja Lelaki kemudian menuju ke Balai Singgahsana Indera Buana bersama Yang Amat Mulia Pengiran Maharaja Setia Laila Diraja Sahibul Irshad Pengiran Anak Haji Abdul Rahim, yang dituntun oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim. 

Sejurus rombongan Pengantin Diraja Lelaki tiba di pintu Balai Singgahsana Indera Buana, Yang Berhormat Mufti Kerajaan menuntun dan membawa Pengantin Diraja Lelaki masuk ke dalam majlis. 

Sementara itu, 12 Sinipit yang berjalan di hadapan Rombongan Pengantin Diraja Lelaki masuk dan beratur di kiri kanan, berdekatan dengan pintu masuk Balai Singgahsana Indera Buana. 

Manakala Yang Dimuliakan Pehin Penyurat Awang Maidin; dan Yang Dimuliakan Pehin Penyurat Haji Awang Osman mengiring hingga ke pintu Balai Singgahsana Indera Buana. 

Empat Dian Bunga diletakkan di kiri kanan pintu Balai Singgahsana Indera Buana, manakala pembawa Payung berdiri di hadapan pintu Balai Singgahsana Indera Buana. 

Pembawa Dian Tunggal, Pengiran Perempuan Berbaju Gadong dan Dayang-dayang yang membawa Kaskol Langguai, Pahawai 7 dan Awang-awang yang membawa Dian 16 duduk sebaik sahaja Pengantin Diraja Lelaki duduk di tempat yang dikhaskan, manakala Alat-alat Kebesaran Diraja yang dibawa oleh Awang-awang, iaitu enam Pedang dan Perisai, enam Tumbak Bendarangan dan empat Kabok dan Panastan berdiri di kiri kanan majlis. 

Manakala Yang Berhormat Mufti Kerajaan, dua orang Kanak-kanak Pahawai Lelaki, seorang membawa Kiap, seorang membawa Pasigupan terus mengiring Pengantin Diraja Lelaki hingga ke tempat duduk yang dikhaskan dan mengambil tempat mereka masing-masing. 

Setelah Pengantin Diraja Lelaki sampai di Singgahsana, Kebawah Duli Yang Maha Mulia terus menapakkan tangan Yang Amat Mulia Pengiran Muda Bahar ke atas kepala Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri 'Azemah Ni'matul Bolkiah. 

Istiadat Bersanding Pengantin Diraja dimulakan dengan Bacaan Selawat oleh Yang Berhormat Mufti Kerajaan, diiringi dengan tembakan meriam sebanyak 17 das. 

Setelah itu, Doa Selamat dibacakan oleh Yang Berhormat Mufti Kerajaan. 

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen kemudian menjunjung anugeraha untuk menjunjung kedua-dua Pengantin Diraja berangkat dari majlis. 

Sejurus sebelum mempelai diraja berangkat dari majlis, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri menerima junjung ziarah daripada mempelai diraja, diikuti dengan junjung ziarah kepada ayahanda dan bonda mempelai diraja lelaki, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Norhayati, diikuti dengan bonda mempelai diraja perempuan, Yang Mulia Datin Paduka Seri Dayang Hajah Mariam bin Haji Abdul Aziz. 

Kedua-dua Pengantin Diraja berangkat dengan diapit oleh Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen, didahului oleh 40 Sinipit dan 12 Sinipit yang dibawa oleh Awang-awang, diikuti oleh Yang Mulia Juru Bini Dayang Hajah Rokiah dan dua Hulubalang, iaitu Hulubalang Diraja membawa Pemuras dan Karga, serta Hulubalang Asgar membawa Kelasak dan Kampilan, Dian Tunggal yang dibawa oleh Dayang-dayang berjalan di hadapan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri 'Azemah Ni'matul Bolkiah, diikuti oleh dua Kanak-kanak Pahawai Lelaki, seorang membawa Kiap, seorang membawa Pasigupan, Perhiasan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri 'Azemah Ni'matul Bolkiah yang dibawa oleh tiga Dayang-dayang, iaitu seorang membawa Payung, seorang membawa Kaskol dan seorang membawa Kain Pendukungan. 

Sementara itu, sebatang Dian Tunggal yang dibawa oleh Awang-awang berjalan di hadapan Yang Amat Mulia Pengiran Muda Bahar dengan diiringi oleh Yang Dimuliakan Pehin Jawatan Bini Datin Paduka Dayang Hajah Siti, Yang Dimuliakan Pehin Penyurat Awang Maidin dan Yang Dimuliakan Pehin Penyurat Haji Awang Osman, diikuti oleh dua Pengiran Perempuan Berbaju Gadong. 

Diikuti dengan dua Dayang-dayang yang membawa Kaskol Langguai dan tujuh Pahawai Perempuan dan tujuh Pahawai Lelaki, yang masing-masing memegang satu Puan, satu Tarian, satu Kabok dan Panastan, satu Kiap, satu Chupu, satu Pasigupan dan satu Kaskol, Dian 16, yang masing-masing dibawa oleh 16 Dayang-dayang dan 16 Awang-awang serta Alat-alat Kebesaran Diraja, terdiri daripada 16 Pedang dan Perisai serta enam pedang dan perisai, 16 Tumbak Bendarangan dan enam Tumbak Benderangan serta lapan Kabok dan Panastan serta empat Kabok dan Panastan yang dibawa oleh Awang-awang. 

Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan menjunjung anugeraha untuk menyembahkan kepada Yang Amat Mulia Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib, bahawa Majlis Istiadat Bersanding Pengantin Diraja telah sempurna dilaksanakan. 

Yang Amat Mulia Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib menyembahkan dan menjunjung titah ke hadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, bahawa Majlis Istiadat Bersanding Pengantin Diraja telah sempurna dilaksanakan. 

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri berangkat meninggalkan majlis ke bilik khas, diikuti dengan kerabat diraja yang lain. 

Turut hadir ke Majlis Istiadat Bersanding Pengantin Diraja, Yang Amat Mulia Pengiran-pengiran Cheteria, Menteri-menteri Kabinet, Ahli-ahli Majlis-majlis Mesyuarat, Timbalan-timbalan Menteri, Pengiran-pengiran Peranakan, Pehin-pehin Manteri, Manteri-manteri Hulubalang dan Manteri-manteri Pedalaman, Ketua-ketua Perwakilan Negara Asing di Negara Brunei Darussalam, Setiausaha-setiausaha Tetap dan Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan juga wakil-wakil dari Syarikat Milik Kerajaan. 

Majlis Istiadat Bersanding Pengantin Diraja Istiadat merupakan satu lembaran sejarah bagi kerabat diraja Brunei dan negara, seterusnya akan menjadi ristaan zaman-berzaman untuk generasi hari ini serta akan datang. 

Majlis Istiadat Bersanding Pengantin Diraja yang dihadiri oleh para tetamu dari dalam dan luar negara itu selamat disempurnakan dalam suasana penuh adat beristiadat serta gilang-gemilang. 

Pelbagai lapisan rakyat jelata turut meraikannya, berdoa bersama, memohon kepada Allah Subhanahu Wata'ala semoga mempelai diraja sentiasa diberkati dan dilindungi.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto

‚Äč