Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
Majlis Persantapan Diraja bergemerlapan
16/01/2023

hm_160123.jpg
‚Äč

Balai Persantapan, Istana Nurul Iman menjadi saksi kemeriahan dan keraian Majlis Persantapan Diraja sempena Istiadat Perkahwinan Diraja di antara Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri 'Azemah Ni'matul Bolkiah binti Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah dengan Yang Amat Mulia Pengiran Muda Bahar ibni Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah. 

Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam bersama-sama Pengantin Diraja Perempuan dan Pengantin Diraja Lelaki jelas mencerminkan keakraban keluarga diraja, dan akan menjadi salah satu ristaan manis dan kenangan bermakna bagi para hadirin khasnya juga kepada seluruh rakyat jelata amnya. 

Berangkat sama paduka-paduka anakanda dan adinda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Raabi'atul 'Adawiyyah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Wakeel; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah dan Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Hajah Zariah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah dan Yang Amat Mulia Pengiran Bini Hajah Faizah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Norhayati. 

Juga berangkat, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa'adatul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Majeedah Nuurul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna; dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Amal Umi Kalthum Al-Islam. 

Turut berangkat, cucunda-cucunda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah. 

Hadir sama, bonda Pengantin Diraja Perempuan, Yang Mulia Datin Paduka Seri Dayang Hajah Mariam binti Haji Abdul Aziz. 

Persembahan muzik kebudayaan menyerikan lagi suasana pada Majlis Persantapan Diraja, sekali gus menjadi halwa telinga buat para tetamu yang hadir yang diwarnai dengan kerdipan lampu yang berwarna-warni dan ditambah lagi dengan hiasan bunga-bungaan segar yang harum mewangi menambah seri lagi majlis berkenaan. 

Kehadiran tetamu khas baginda memberikan suasana yang lebih bermakna sebagai tinta emas dalam lipatan sejarah negara ini, dalam mengeratkan lagi silaturahim yang sedia terjalin di antara kedua-dua belah pihak. 

Sebelum Majlis Persantapan Diraja bermula, Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned. 

Sebelum berangkat meninggalkan majlis, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri bersama Pengantin Diraja berkenan beramah mesra bersama tetamu khas Kebawah DYMM. 

Terpancar kegembiraan dan keceriaan mempelai diraja, melambai sambil tersenyum mesra kepada para tetamu yang hadir, sama cantik sama padan berjalan seiringan dengan dihiasi busana yang cantik lagi menawan, menambah seri kepada mempelai diraja yang kekal menjadi ristaan kepada para tetamu yang hadir. 

Turut hadir memeriahkan Majlis Persantapan Diraja berkenaan, Yang Amat Mulia Pengiran-pengiran Cheteria, Menteri-menteri Kabinet, Ahli-ahli Majlis-majlis Mesyuarat, Timbalan-timbalan Menteri, Pengiran-pengiran Peranakan, Pehin-pehin Manteri, Manteri-manteri Hulubalang dan Manteri-manteri Pedalaman, Duta-Duta, Pesuruhjaya-Pesuruhjaya Tinggi, Setiausaha-setiausaha Tetap dan Ketua-ketua Jabatan serta para jemputan lainnya.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto