Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
Ahli MMN baharu dilantik angkat sumpah
28/01/2023

jpm_280123.jpg

Upacara Mengangkat Sumpah bagi Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) yang baharu dilantik pada 20 Januari lalu, berlangsung hari ini di Dewan Persidangan, Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat. 

Upacara tersebut adalah sebagaimana yang terkandung di dalam Perkara 49 daripada Perlembagaan Negara Brunei Darussalam 1959, iaitu tiap-tiap Ahli MMN, sebelum memulakan kewajipan-kewajipan jawatan dan menduduki kerusi masing-masing, hendaklah mengangkat sumpah dan menandatangani pengakuan di hadapan Yang Di-Pertua dalam bentuk yang dinyatakan dalam Borang IV di dalam Jadual Pertama. 

Dalam upacara tersebut, Ahli-ahli Yang Berhormat telah mengangkat sumpah dan menandatangani pengakuan di hadapan Yang Di-Pertua MMN, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib. 

Ahli-ahli MMN yang dilantik terdiri daripada Ahli Rasmi Kerana Jawatan, Orang-Orang Bergelar, Orang-Orang Yang Telah Mencapai Kecemerlangan dan Wakil Yang Dilantik Dari Daerah-Daerah. 

Upacara mengangkat sumpah didahului oleh Ahli Rasmi Kerana Jawatan terdiri daripada Menteri-menteri Kabinet iaitu Penasihat Khas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Bakti Di-Raja Dato Laila Utama Haji Awang Isa bin Pehin Datu Perdana Manteri Dato Laila Utama Haji Awang Ibrahim; Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman; Menteri di JPM, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof; Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar; Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah; Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman; Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin; Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid; Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Dayang Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh; dan Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha. 

Kemudian diikuti oleh Orang-Orang Bergelar, iaitu Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Mohd Yusuf. 

Disusuli pula oleh Orang-Orang Yang Telah Mencapai Kecemerlangan iaitu Yang Berhormat Dayang Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abd Salam; Yang Berhormat Awang Lau How Teck; Yang Berhormat Chong Chin Yee; Yang Berhormat Dr. Awang Haji Mahali bin Haji Momin; Yang Berhormat Awang Haji Salleh Bostaman bin Haji Zainal Abidin; Yang Berhormat Dayang Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Momin; dan Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin. 

Upacara Mengangkat Sumpah seterusnya diikuti oleh Wakil Yang Dilantik Dari Daerah-Daerah, iaitu Penghulu Mukim Lumapas, Yang Berhormat Awang Amran bin Haji Maidin mewakili Zon 4 - Daerah Brunei dan Muara (DBM); Ketua Kampung Subok, Yang Berhormat Awang Lawi bin Haji Lamat Maidin mewakili Zon 3 - DBM; Ketua Kampung Putat, Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed Maidin mewakili Zon 5 - DBM; Ketua Kampung Lumapas 'B', Yang Berhormat Awang Mohammad Ali bin Tanjong mewakili Zon 1 - DBM; Ketua Kampung Belimbing, Yang Berhormat Awang Haji Daud bin Jihan mewakili Zon 2 - DBM; Penghulu Mukim Bukit Sawat, Yang Berhormat Awang Salleh bin Haji Othman mewakili Zon 1 - Daerah Belait; Ketua Kampung Bukit Sawat, Yang Berhormat Awang Mohammad bin Abdullah @ Lim Swee Ann mewakili Zon 1- Daerah Belait; Penghulu Mukim Ukong, Yang Berhormat Awang Haji Mohamad Danial @ Tekpin bin Ya'akub mewakili Zon 1 - Daerah Tutong; Ketua Kampung Sengkarai, Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan mewakili Zon 2 - Daerah Tutong; dan Ketua Kampung Labu Estet dan Piasau-Piasau, Yang Berhormat Haji Awang Sulaiman bin Haji Nasir mewakili Daerah Temburong. 

Terdahulu itu, majlis dimulakan dengan bacaan Doa Selamat yang dipimpin oleh Begawan Mudim Haji Abd Latif bin Haji Saman. 

Pada akhir majlis, Yang Berhormat Yang Di-Pertua merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian atas lantikan masing-masing sebagai Ahli-ahli MMN. 

Dengan penuh berserah dan bertawakal kepada Allah Subhanahu Wata'ala jua Yang Berhormat yakin dan penuh percaya bahawa Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian akan berusaha untuk memikul tanggungjawab yang diamanahkan ini dengan sebaik-baiknya, dalam memberikan buah fikiran, pandangan serta cadangan-cadangan yang menjurus ke arah membawa kemajuan, kemakmuran dan kesejahteraan kepada rakyat dan negara. 

Hadir sama dalam majlis berkenaan ialah Setiausaha Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri Kabinet dan Jurutulis MMN, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Pekerma Jaya Dato Paduka Awang Haji Judin bin Haji Asar dan Timbalan Jurutulis, Dayang Rose Aminah binti Haji Ismail. 

Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Timbalan-timbalan Menteri, Setiausaha-setiausaha Tetap dari kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan kerajaan. 

Dengan sumpah atau ikrar yang dilafazkan oleh Ahli-ahli MMN tersebut akan menjadi sebuah tanggungjawab untuk membantu dalam menjaga dan mengekalkan matlamat negara, menjayakan kemakmuran dan memajukan kehidupan rakyat serta penduduk di Negara Brunei Darussalam. 

Ini adalah untuk menyempurnakan tanggungjawab kerajaan dalam menuju ke arah satu tahap kestabilan politik dan sosial ekonomi yang sangat membanggakan.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto