Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
DPMM berkenan menerima mengadap
04/03/2023

dpmm_040323.jpg

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, pagi tadi berkenan menerima mengadap Ketua-ketua Perwakilan Negara Brunei Darussalam (NBD) yang baharu dilantik dan Ketua-ketua Perwakilan Asing ke NBD yang baharu. 

Duli Yang Teramat Mulia mula-mula berkenan menerima mengadap Duta Besar Istimewa dan Mutlak NBD ke Kesultanan Oman, Puan Yang Terutama Noralizan binti Abdul Momin; Duta Besar Istimewa dan Mutlak NBD ke Republik Filipina, Puan Yang Terutama Megawati binti Dato Paduka Haji Manan; dan Wakil Tetap NBD ke ASEAN di Jakarta, Republik Indonesia, Puan Yang Terutama Latifah binti Zaini. 

Ketua-ketua Perwakilan NBD yang baharu dilantik tersebut menerima Surat-surat Watikah Pelantikan daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 28 Februari 2023. 

Duli Yang Teramat Mulia seterusnya berkenan menerima mengadap Duta Besar Istimewa dan Mutlak Kesultanan Oman ke NBD, Puan Yang Terutama Erma Said Mohamed Al Kathiry, dan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Persekutuan Rusia ke NBD, Tuan Yang Terutama Mikhail Vladimirovich Baranov. 

Ketua-ketua Perwakilan Asing yang baharu ke NBD tersebut telah menyembahkan Surat-surat Tauliah Pelantikan ke hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 28 Februari 2023. 

Majlis-majlis Mengadap tersebut telah berlangsung di Qashr Al-Meezaan.​

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto