Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
539 pelatih PKBN tamat latihan
16/03/2023

hm_1603231.jpg‚Äč

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam hari ini telah berkenan berangkat ke Upacara Perbarisan Tamat Latihan Program Khidmat Bakti Negara (PKBN) Pengambilan Ke-11 di Kem Latihan Program Khidmat Bakti Negara, Batu Apoi. 

Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Padang Kawad, Kem Latihan berkenaan dijunjung oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi bin Haji Mohamad. 

Upacara dimulakan dengan Hormat Diraja dan disusuli dengan Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam, 'Allah Peliharakan Sultan'. 

Seterusnya Kebawah DYMM berkenan memeriksa Perbarisan Tamat Latihan PKBN Pengambilan Ke-11 yang terdiri daripada seramai 539 pelatih, iaitu 403 lelaki dan 136 perempuan. 

Kebawah DYMM seterusnya berkenan menerima tabik hormat daripada perbarisan yang berjalan lalu dalam masa perlahan dan cepat. 

Seterusnya, baginda berkenan mengurniakan titah dan mengurniakan anugerah kepada enam pelatih terbaik PKBN Ke-11 iaitu Pelatih Lelaki Terbaik Kawad, 13476 Muhammad Sukhairol Suharae bin Abdulah Suhardi; Pelatih Perempuan Terbaik Kawad, 13590 Nur Insyirah Batrisya binti Haji Zainuddin; Pelatih Lelaki Terbaik Jasmani, 13693 Mohammad Addey bin Someun; Pelatih Perempuan Terbaik Jasmani, 13560 Rabiatul Adawiyah binti Shahminan; Pelatih Lelaki Terbaik Keseluruhan, 13292 Muhammad Nur Iffat Fadlullah bin Fandi; dan Pelatih Perempuan Terbaik Keseluruhan, 13370 Hazirah Maisarah binti Hamdillah. 

Upacara diteruskan dengan laungan 'Tiga Kali Daulat' untuk Kebawah DYMM dan diikuti dengan bacaan Doa Selamat. 

Sebelum beredar dari Padang Kawad, Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam dimainkan diikuti dengan Perbarisan Tamat Latihan berjalan lalu dan keluar daripada padang perbarisan. 

Baginda kemudian berangkat menuju ke Ruang Legar, Blok 1, Kem Latihan PKBN bagi menyaksikan pameran daripada Tim Pusat Pengasingan Komuniti (Community Isolation Centre) - PKBN dan Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (pengendalian serta pelaksanaan Latihan Penyelarasan Kesiap siagaan Bencana Asas) sebelum baginda dijunjung berangkat ke Bilik Tetamu 1, Blok 1, Kem Latihan Program Khidmat Bakti Negara bagi santap ringan. 

Mengiringi keberangkatan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof dan Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh. 

Kebawah DYMM seterusnya berkenan menandatangani Buku Lembaran Kenangan sempena keberangkatan baginda pada upacara tersebut. 

Sebelum meninggalkan majlis, Kebawah DYMM berkenan berangkat bagi sesi bergambar ramai bersama para pelatih dan seterusnya disembahkan dengan sebuah pesambah oleh Pemangku Pengarah Khidmat Bakti Negara, Mejar (B) Haji Mohammad bin Dollah sebagai menjunjung kasih di atas keberangkatan baginda. 

Keberangkatan Kebawah DYMM pada hari ini menunjukkan bukti keprihatinan baginda terhadap perkembangan Belia di Negara Brunei Darussalam terutama kepada para pelatih PKBN ini. 

Di samping itu juga, ia adalah sebagai penyuntik semangat para pelatih untuk terus aktif memainkan peranan sebagai belia yang berdikari, berdisiplin, berwawasan, berhemah, bertakwa dan syumul dan terus menerus aktif mengaplikasikan apa yang dipelajari sepanjang program setelah tamat menjalani PKBN agar dapat menabur bakti dan meningkatkan rasa cinta serta pengorbanan terhadap negara, bangsa dan agama sesuai dengan hasrat penubuhan Program Khidmat Bakti Negara. 

Sejak PKBN ini ditubuhkan, PKBN telah mengeluarkan seramai 3,716 Alumni PKBN dan ini adalah termasuk jumlah Alumni PKBN Pengambilan Ke-11. 

PKBN Pengambilan Ke-11 telah dikendalikan serta dilaksanakan bermula 27 November 2022 dan berakhir pada 16 Mac 2023. 

Mereka ini dilatih oleh Pegawai / Jurulatih / Tenaga Kerja yang telah diperbantukan daripada Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Askar Simpanan Melayu Diraja Brunei, Pasukan Polis Diraja Brunei, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Outward Bound Brunei Darussalam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, dan sukarelawan profesional yang dibantu oleh Alumni PKBN bagi sama-sama menjayakan PKBN ini.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto